KOTA BHARU, 31 Mei- Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) menyantuni golongan usahawan India di Kelantan dengan pemberian bantuan peralatan perniagaan mesin layan diri.
Ketua Pengarah MITRA, Ravikumar Suppiah berkata, menerusi mesin itu, pemilik perniagaan kecil India di Kelantan boleh memperluaskan skop pasaran dan meningkatkan aliran pendapatan.
Ia melibatkan kos keseluruhan berjumlah RM180,000, sekali gus menjadi antara program terbesar MITRA di negeri itu.
Pihaknya akan terus giat menyantuni golongan India terutama golongan B40 dengan program-program berbentuk kebajikan pada tahun ini di seluruh negara.
"Buat masa ini kita ada dalam tujuh atau lapan program.
"Masih dalam perancangan, melibatkan program-program yang mendapat manfaat, mempunyai nilai impak yang besar antaranya program dialisis yang dapat membantu kesejahteraan sosial pesakit-pesakit buah pinggang yang kronik," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Program Perniagaan Mesin Vending (layan diri) Khas Komuniti India Kelantan di sini.
Pada program itu, seramai 10 usahawan India B40 mendapat manfaat daripada pemberian mesin layan diri itu.
Tahun lalu, MITRA juga telah melaksanakan pelbagai program di Kelantan antaranya Program Subsidi Pendidikan Awal Tadika Swasta di Kuala Krai dan menyediakan kursus seperti membaik pulih penyaman udara kepada belia India di Kelantan.