KUALA LUMPUR, 29 Disember- Sejumlah 10 stesen sungai yang dikendalikan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menunjukkan paras air di tahap bahaya membabitkan negeri Pahang, Kelantan, Sarawak dan Terengganu, setakat pukul 10.00 malam tadi.
Menerusi laman sesawang InfoBanjir JPS, enam daripadanya adalah di Pahang membabitkan Sungai Pahang di Lubok Paku, Maran dengan bacaan paras air 19.21 meter (m), Sungai Pahang di Kuala Sungai Chini, Pekan (17.14m), Sungai Luit di Kampung Subuh, Maran (28.39m), Sungai Keratong di Jalan Kota Bahagia, Rompin (12.27m), Sungai Rompin di Jambatan Kuantan/Segamat, Rompin (9.5m) dan Sungai Pahang di Paloh Inai, Pekan (10.3m)
Sementara 19 stesen lagi di negeri itu merekodkan paras air di tahap amaran dan waspada.
Di Kelantan, dua stesen mencatatkan paras bahaya iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang (F1), Pasir Mas (9.76m) dan Sungai Kelantan di Kuala Besar, Kota Bharu (2.92m), manakala bacaan lapan stesen lain pada paras amaran dan waspada.
Sarawak pula merekodkan Sungai Salim B di Sibu pada paras bahaya iaitu bacaan 3.17m dan 11 lagi stesen JPS paras amaran dan waspada.
Terengganu juga merekodkan satu stesen pada paras bahaya melibatkan Sungai Terengganu di Drawbridge, Kuala Terengganu dengan bacaan 1.98m, manakala 11 stesen lagi paras amaran dan waspada.
Dalam pada itu, negeri-negeri lain mencatatkan bacaan paras air di tahap amaran dan waspada antaranya Melaka (3), Kedah (2), Johor (2), Sabah (1), Selangor (1) serta Labuan (1).