MARANG, 4 Januari- 10 individu ditahan dalam operasi Ops Sapu dan Kutip di Pasar Bukit Payong dan beberapa premis kediaman di sekitar Daerah Marang serta Kuala Terengganu semalam.
Operasi berkenaan dilakukan ke atas lima premis dan 71 individu.
Daripada jumlah tersebut 10 PTI lelaki berumur 16 hingga 47 tahun telah ditahan melibatkan tujuh warga Kemboja, Myanmar (dua) termasuk seorang remaja dan Bangladesh (satu).
Seorang lelaki Myanmar ditahan menerusi operasi itu telah menggunakan dokumen milik individu lain yang dilaporkan hilang oleh pemilik asal.
Operasi bermula pukul 7.00 pagi hingga 12.30 tengah hari itu melibatkan sepasukan pegawai pelbagai pangkat dari Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen (JIM) Negeri Terengganu.
Semua warga asing itu ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu berada di negara ini tanpa dokumen perjalanan sah serta Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal lebih masa.
Kesemua tahanan dibawa ke Depot Imigresen Ajil untuk siasatan lanjut.