fb fb fb fb fb

10 PATI ditahan cuba seberang masuk sempadan Malaysia di Biawak

FOTO Markas Satu Divisyen

LUNDU, 3 Mei- 10 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Tentera Dara Malaysia, TDM dan Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Darat (TNI-AD) semasa rondaan di sempadan negara di Biawak, Lundu tengahari tadi.

Menurut kenyataan media oleh Markas Satu Divisyen hari ini, kesemua PATI itu ditahan semasa sedang berjalan daripada arah sempadan Indonesia di Sektor Pos GABMA Biawak.

Hasil siasatan mendapati kesemua mereka berusia 18 hingga 30 tahun dalam perjalanan untuk berkerja di Malaysia namun semasa pemeriksaan tiada barang terlarang serta berbahaya dijumpai.

Kesemua PATI telah dibawa ke sempadan negara untuk pengusiran.

Sehubungan itu, Panglima 1 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Mohamed Fauzi Kamis merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada semua anggota bawah naungannya.

Katanya, TDM akan terus komited untuk memperketatkan kawalan di persempadanan Malaysia- Indonesia bagi memastikan kedaulatan negara terus terpelihara daripada sebarang bentuk pencerobohan PATI, kegiatan penyeludupan mahupun jenayah rentas sempadan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE