fb fb fb fb fb

10 lagi Pasar Nelayan akan dibuka di seluruh negara

Foto LKIM

KUALA TERENGGANU, 8 Mac - Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) merancang untuk membuka 10 lagi Pasar Nelayan di seluruh negara tahun ini.

Sehubungan itu, LKIM diarah untuk mengenal pasti dan mengemukakan cadangan lokasi yang sesuai supaya projek itu dapat dilaksanakan dengan segera.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Muhammad Faiz Fadzil berkata, ketika ini terdapat 137 buah pasar nelayan di seluruh negara dan sembilan daripadanya di Terengganu.

Katanya, kewujudan pasar berkenaan yang bernilai RM200,000 setiap satu itu, mampu meningkatkan lagi ekonomi para nelayan.

Secara tidak langsung lebih ramai rakyat boleh mendapat bekalan ikan segar dengan harga lebih murah berbanding pasaran.

"Jadi ini adalah usaha LKIM untuk membantu nelayan menambah pendapatan dan membantu rakyat mendapatkan ikan yang lebih stabil harganya, tetapi perlu diingatkan juga ini harga ikan yang segar jadi tidak sama harga dengan harga ikan yang lama di pasar-pasar biasa," kata Muhammad Faiz kepada pemberita selepas merasmikan pasar nelayan di Seberang Takir, Kuala Nerus.

Turut hadir Pengarah Bahagian Pemasaran dan Pelesenan LKIM Abdul Salim Tajudin dan Pengarah LKIM Terengganu Ahmad Nazri @ Abd. Zaim Madri.

Mengulas lanjut beliau berkata, sebanyal 77 Pasar Nelayan dikenal pasti tidak aktif di seluruh negara.

Menurutnya perkara itu berlaku susulan kedudukan pasar yang tidak strategik iaitu jauh dari taman perumahan atau penempatan.

"Sebab itu kita perlu kenal pasti lokasi yang betul-betul strategik untuk bina Pasar Nelayan baharu. Kita tak mahu sekadar buat tetapi akhirnya tak dapat sambutan mengggalakkan dan projek tidak dimanfaatkan.

"Di Terengganu lapan Pasar Nelayannya aktif dan mencatat nilai jualan sebanyak RM6.1 juta sebulan. Dan yang terbaharu, Pasar Nelayan Seberang Takir ini yang baru dibuka Januari lalu saya difahamkan mencatat jualan antara RM90,000 hingga RM150,000 sebulan," katanya.

LKIM juga katanya akan melancarkan trak ikan bergerak yang lebih moden dan sistematik di Kuala Lumpur dan Selangor tidak lama lagi.

TETITIA YUSOFF