KUALA LUMPUR, 29 April- 10 individu warganegara Malaysia berjaya diselamatkan daripada sindiket penipuan kerja dan pemerdagangan manusia dan dijangka tiba di Malaysia melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 1 pada 29 April ini.
Mereka yang diselamatkan merupakan sembilan individu dari Vietnam manakala seorang lagi dari Myanmar.
Setiausaha Kerja Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) Izzat Izzuddin Idris dalam satu kenyataan berkata, faktor memudahkan pemerdagangan manusia disebabkan kekurangan kesedaran dan pengetahuan dalam kalangan masyarakat.
"Ramai yang tidak sedar bahawa orang yang mereka jumpai mungkin menjadi mangsa pemerdagangan manusia. Misalnya, seorang wanita yang bekerja di sebuah kedai makanan mungkin dipaksa bekerja tanpa gaji atau bawah tekanan yang teruk.
"Begitu juga dengan kanak-kanak yang dipaksa menjadi pengemis oleh sindiket pemerdagangan manusia," katanya.
Menurut maklumat yang diterima daripada mangsa, ketua sindiket itu merupakan seorang individu dari Taiwan.
"Bagi mangsa-mangsa yang ditahan di Vietnam ini, pusat atau pangkalan utama sindiket pemerdagangan manusia ini adalah di Bandar Ho Chi Minh.
"Seorang lagi mangsa sindiket pemerdagangan manusia merupakan seorang individu yang telah pergi ke Thailand untuk bercuti bersama-sama rakan universiti namun setibanya di Thailand, mangsa dipengsankan.
"Mangsa hanya menyedari telah dibawa keluar ke Myawaddy, Myanmar apabila memeriksa lokasinya ketika itu menggunakan telefon bimbit," katanya.
Pada masa sama isu berkenaan menjejaskan ramai individu di seluruh dunia kerana mangsa digunakan untuk kepentingan eksploitasi seksual, buruh paksa, pengemis paksa, bahkan perdagangan organ.
Selain itu, kerajaan perlu meningkatkan undang-undang dan hukuman terhadap sindiket pemerdagangan manusia selain melaporkan kegiatan sindiket berkenaan kepada pihak berkuasa.
Sementara itu sidang media yang dijadualkan akan berlaku kelewatan berikutan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menemu bual mangsa berkenaan.