fb fb fb fb fb

“1 Alumni 1 Ringgit” jadi platform bekas pelajar bantu mahasiswa

FOTO FB UUM

SINTOK, 20 Disember- Kempen 1 Alumni, 1 Ringgit bukan sahaja dapat membantu mahasiswa dari keluarga tidak berkemampuan, tetapi turut menerapkan contoh dan teladan yang baik kepada generasi baharu pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM).

Kempen itu juga selaras dengan aspirasi kerajaan MADANI yang menyarankan supaya universiti sentiasa mencari jalan terbaik membantu mahasiswa terutama mereka dari keluarga B40.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed, kempen itu mendapat sambutan menggalakkan dan menyaksikan peningkatan sumbangan setiap bulan.

“Kempen ini hanya menetapkan sumbangan RM1 kerana ia tidak membebankan alumni untuk menyumbang semula kepada universiti yang menjadi tempat mereka menuntut ilmu satu masa dulu.

Apa yang penting, kempen ini memberi kesan dan menyentuh hati alumni untuk sama-sama membantu mahasiswa dari keluarga tidak berkemampuan yang sedang belajar di UUM.

“Keikhlasan alumni menyertai kempen “1 Alumni 1 Ringgit” mencerminkan keperibadian mereka yang prihatin kepada generasi adik-adik mereka yang sedang menuntut ilmu di UUM ini,” jelas Dr. Ahmad Martadha.

Kesan yang diharapkan adalah, mereka yang menikmati manfaat kempen ini akan melakukan perkara sama untuk generasi baharu mahasiswa di UUM pada masa akan datang.

Mahasiswa berdepan masalah kewangan pastinya dapat belajar dengan lebih tenang apabila tidak perlu memikirkan isu-isu kewangan dan keperitan hidup bagi menamatkan pengajian di sini.

Perkara itu menjadi matlamat utama pelancaran kempen “1 Alumni 1 Ringgit” yang membolehkan dana tersebut digunakan pihak universiti bagi merancang program kebajikan untuk manfaat pelajar.

Sehingga kini, UUM mempunyai lebih 160,000 alumni bukan sahaja di Malaysia tetapi juga melibatkan bekas pelajar antarabangsa dan mereka boleh menghubungi Pusat Alumni universiti bagi menyertai kempen berkenaan.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD