fb fb fb fb fb

Lebih 1,800 penduduk masih terjejas banjir di Kedah

FOTO RTM

ALOR SETAR, 14 Oktober- Jumlah penduduk terjejas akibat banjir di Kedah menunjukkan penurunan daripada 2,257 orang kepada 1,850 orang yang melibatkan 606 keluarga setakat pukul 4.00 petang ini.

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Mejar Pertahanan Awam Muhammad Suhaimi Mohd Zain memaklumkan bahawa penduduk terjejas dari empat daerah iaitu Kota Setar, Baling, Kubang Pasu dan Pokok Sena kini ditempatkan di 18 pusat pemindahan sementara (PPS).

Sementara itu, tiga PPS telah ditutup termasuk dua lokasi di Kota Setar iaitu PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Haji Idris dan PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Abdul Malik, serta satu PPS di Kubang Pasu.

Daerah Baling mencatatkan jumlah tertinggi dengan 914 orang daripada 324 keluarga ditempatkan di 10 PPS termasuk satu PPS yang baru dibuka di SK Kuala Ketil.

Kota Setar mencatat 444 orang daripada 139 keluarga di empat PPS, sementara Pendang menempatkan 453 orang daripada 122 keluarga di dua PPS iaitu di Dewan Kompleks Rakan Sukan dan SMK Negeri Pendang.

Di Pokok Sena, seramai 39 orang daripada 16 keluarga berlindung di satu PPS di SK Tualang.

SITI AISHAH MD ISA