KUALA LUMPUR, 4 Februari- Seramai 1.6 juta pelancong disasar memilih inap desa dan 'kampung stay' tahun ini dengan menjana pendapatan mencecah RM100 juta.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata bagi merealisasikan sasaran tersebut, kerajaan akan menyelesaikan beberapa kekangan yang dihadapi pengusaha inap desa.
"Kita sedari beberapa kekangan terutama dari segi masalah kemudahan infrastruktur, kemudahan asas di inap desa. Insya-Allah, jawatankuasa ini akan mencari jalan untuk membantu pengusaha-pengusaha inap desa kampung mendapat kemudahan yang sepatutnya.
"Untuk itu Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) melalui Infra dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Tourism untuk melaksanakan kursus-kursus untuk usahawan inap desa.
"Kita juga merasakan Tahun Melawat Malaysia semakin hampir iaitu 2026. Elemen inap desa sebahagian penting termasuk 'kampung stay' untuk dipromosikan", katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Koordinasi Inap Desa dengan Pihak-pihak Berkepentingan di Bangunan Parlimen.
Tahun lalu, hampir 830,000 pelancong direkodkan memilih inap desa dan 'kampung stay' sebagai tempat penginapan dengan berjaya menjana pendapatan kira-kira RM54 juta.