KUALA LUMPUR, 8 Januari - Lebih 1.4 juta permohonan baharu dan kemaskini Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) telah diterima Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL), setakat 7 Januari 2022.
Daripada jumlah itu, sebanyak 355,071 adalah permohonan baharu manakala selebihnya permohonan kemaskini BKM.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, hampir 95% permohonan baharu dan kemaskini telah dilaksanakan secara dalam talian.
" Untuk kita kurangkan golongan yang tercicir, program Bantuan Keluarga Malaysia ini dibawa masuk secara automotif ke BKM tapi yang pentingnya kita akan semak semua dengan agensi kerajaan lain merangkum e-Kasih, JKM, JAKOA dan sebagainya untuk elak keciciran dan mereka yang tercicir," kata beliau selepas mengadakan lawatan ke Kaunter Pendaftaran BKM 2022 di Bangunan HASiL Cawangan Duta, di sini.
Perkhidmatan kaunter BKM tersebut dibuka untuk permohonan dan kemaskini BKM 2022 sehingga hujung bulan ini.
BKM 2022 ini memanfaatkan lebih 9.6 juta penerima dengan peruntukkan 8.2 bilion ringgit.
Dalam pada itu, Zafrul memaklumkan kira-kira 1,800 pusat servis dan bengkel telah berdaftar bagi inisiatif Baucar Diskaun Automotif Keluarga Malaysia.
Ini meliputi 1,100 pusat servis kereta dan 700 bengkel motosikal.
Tambah beliau, kerajaan terus meningkatkan bilangan pusat servis serta bengkel terutamanya untuk motosikal.
" Kalau syarikat bengkel ini berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan juga pejabat daerah pun boleh bagi memudahkan urusan rakyat yang terjejas memanfaatkan baucar automotif ini", kata beliau.
Tuntutan baucar bernilai sehingga RM 1,000 itu adalah hingga 31 Mac tahun ini.
Tiada sebarang permohonan diperlukan, pemilik kenderaan boleh menebus baucar tersebut di pusat servis atau pengedar sah syarikat automotif terlibat.
Pengguna dinasihat membuat tuntutan dari pusat servis atau pengedar yang sah bagi mengelak sebarang kesulitan.