KUALA LUMPUR, 28 Februari- Sejumlah 1,322 unit Rumah Generasi Kedua FELCRA di Perak, Pahang dan Sabah siap dibina.
Ia melibatkan Perumahan Generasi Kedua FELCRA Seberang Perak, Perak, fasa 1, sebanyak 349 unit, fasa 2 sebanyak 710 unit dan Perumahan Generasi Kedua FELCRA Seri Makmur, di Pahang sebanyak 140 unit, serta Perumahan Generasi Kedua FELCRA Sukau, Sabah sebanyak 123 unit.
Program perumahan itu dilaksana bagi membuka peluang buat golongan berkenaan memiliki rumah.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, pengurusan FELCRA bersedia untuk menambah kapasiti projek.
Bagaimanapun, ia tertakluk kepada keutamaan semasa dan peruntukan.
"Pengurusan FELCRA sentiasa bersedia untuk menambah projek Perumahan Generasi Kedua berdasarkan keutamaan semasa. Namun ia tertakluk kepada peruntukan yang boleh disediakan oleh kerajaan", katanya dalam sesi Dewan Rakyat.
Pernyataan tersebut bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Pasir Salak, Jamaludin Yahya.
Tambahnya, usaha untuk memperkasa generasi kedua FELCRA turut dilaksana melalui program keusahawanan kendaliannya yang kini memanfaatkan 1,183 peserta.