fb fb fb fb fb

1,238 penyewa PPR, RSK diberi notis pengosongan- Exco Johor

Datuk Mohd Jafni Md Shukor pada persidangan DUN Johor di sini, hari ini.

ISKANDAR PUTERI, 13 Mei- Kira-kira 1,238 penyewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Rumah Sewa Kerajaan (RSK) di Johor menerima notis pengosongan kediaman selepas dikesan menyewakan kepada pihak lain.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata jumlah itu hasil daripada 19,000 pengemaskinian dokumen perjanjian dan profiling data unit kediaman PPR dan RSK.

Jelasnya, 97 peratus profiling penduduk di 15 PPR dan tujuh RSK itu dibuat sejak dua tahun lalu dan terbukti terdapat penyewa yang mengambil kesempatan mengaut keuntungan berkali ganda daripada harga asal.

"Hasil daripada dapatan yang dibuat mendapati penyewa PPR dan RSK memberikan kediaman berkenaan kepada anak, adik beradik dan saudara mara.

"Ini terbukti apabila seramai 613 kes dikesan penyewa PPR dan RSK menyewakan rumah kepada pihak ketiga dengan bayaran sewaan yang lebih tinggi iaitu dua kali ganda.

"Di mana sewa cuma RM250 sebulan tetapi diberi sewa semula oleh penyewa pada kadar RM600 hingga RM700 sebulan kepada pihak lain," katanya pada sidang akhbar pada sidang DUN Johor di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Bangunan Sultan Ismail, di sini, hari ini.

PPR dan RSK merupakan antara usaha kerajaan negeri membantu golongan B40 dan ke bawah tinggal di kawasan bandar dengan kadar sewa rendah.

ZEHRA BINTI ZAMBRI