fb fb fb fb fb

1,200 tangkapan dilakukan Maritim Malaysia sepanjang tahun lepas

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah (tengah) melawat reruai pameran pada Perasmian Karnival Maritim Perkasa (KMP) di perkarangan Jambatan Angkat Kuala Terengganu

KUALA TERENGGANU, 29 Februari - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah melaksanakan sebanyak 184,000 pemeriksaan serta 43,000 penggeledahan, sepanjang tahun lepas.

Hasil daripada operasi itu Maritim Malaysia berjaya membuat 1,200 tangkapan dengan pelbagai jenis kesalahan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, daripada jumlah itu tangkapan itu 74 daripadanya merupakan kes cubaan masuk PATI ke negara ini yang melibatkan tiga negara utama iaitu Indonesia, Myammar dan Filipina.

Maritim Terengganu pula merekodkan 4,958 pemeriksaan, 2,847 penggeledahan dan 37 tangkapan pelbagai kesalahan dan berjaya menyelamatkan hasil laut negara lebih RM15 juta.

Beliau berkata fokus utama kini adalah untuk mengekang isu pencerobohan bot nelayan asing khususnya Vietnam dengan kerjasama komuniti Maritim.

"Sudah tentu saya sebutkan rakyat mesti menjadi mata dan telinga kita untuk menyampaikan maklumat. Dan kerjasama ini saya percaya penting kerana tanggungjawab menjaga perairan negara tidak boleh semata-mata kita letakkan kepada Maritim Malaysia, selain daripada agensi dan jabatan lain, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan juga agensi lain.

"Peranan rakyat sangat penting sebab itu KDN mengucapkan tahniah kepada Maritim Malaysia dan kerjasama yang ada terutama sekali kerajaan negeri dapat mencipta kejayaan dan untuk tahun 2024 dan tahun seterusnya kita dapat cipta lebih banyak kejayaan," kata Dr Shamsul kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Maritim Perkasa 2024 di Dataran Jambatan Angkat Kuala Terengganu.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin.

Karnival tiga hari bermula hari ini itu, menjadi platform terbaik menyampaikan mesej kesedaran kepada masyarakat mengenai ancaman keselamatan di perairan negara.

TETITIA YUSOFF