fb fb fb fb fb

1,091 premis di Selangor diperiksa, hanya empat diambil tindakan

FOTO HIASAN

CYBERJAYA, 23 Disember - Kadar pematuhan peniaga di Selangor terhadap peraturan ditetapkan semasa perayaan Tahun Baharu Cina, Aidilfitri dan Deepavali lepas amat memuaskan, kata Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor Mohd Khairi Jamaludin.

Ia dapat dilihat menerusi, hanya empat daripada 1,091 premis di Selangor yang diperiksa menerusi Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sepanjang tahun ini yang dikenakan tindakan setakat ini.

"KPDN Selangor yakin prestasi pematuhan peniaga sepanjang SHMMP sempena Krismas yang berkuat kuasa hari ini hingga 27 Disember ini juga berupaya mencapai sifar kesalahan,” katanya kepada media selepas menjalankan pemeriksaan pematuhan SHMMP sempena Krismas di sebuah pasar raya di sini.

Pada masa sama, berdasarkan pemeriksaan pihaknya Mohd Khairi berkata bekalan gula dan minyak masak di negeri itu adalah terkawal buat masa ini.

Beliau berkata KPDN Selangor akan mempertingkatkan keberadaan anggota penguat kuasa di lokasi tumpuan bagi mewujudkan persekitaran urus niaga yang harmoni dan beretika, selain akan terus melakukan pemeriksaan berkala sebagai usaha memastikan tiada aktiviti sorokan bekalan minyak masak dan gula.

TETITIA YUSOFF