fb fb fb fb fb

1,000 peserta sertai himpunan Aman Solidariti Palestin

FOTO RTM

KANGAR, 3 November- Kira-kira 1,000 peserta menyertai Himpunan Aman Solidariti Palestin di Dataran Masjid Alwi, Kangar.

Himpunan berkenaan melibatkan 46 gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seluruh Perlis dianjurkan Pertubuhan Kebajikan Muafakat Perlis (Muafakat Perlis).

Menurut Setiausaha Pertubuhan Kebajikan Muafakat Perlis (Muafakat Perlis), Abdul Agfarnizar Abdul Wahab, usaha yang digerakkan itu sebagai tanda sokongan berterusan kepada rakyat Palestin yang ditindas rejim Zionis.

"Selain itu, himpunan ini bagi mendesak agar peperangan di Palestin dihentikan, menghentikan pembunuhan kanak-kanak, wanita dan orang tidak berupaya serta menunjukkan kesatuan suara rakyat negeri ini."

Antara peserta yang terlibat dalam himpunan berkenaan terdiri daripada gabungan pertubuhan bukan kerajaan Islam, gabungan pertubuhan seni silat dan Maahad Tahfiz dimana beberapa pemimpin NGO turut menyampaikan ucapan bagi membantah tindakan tidak berperikemanusiaan oleh rejim zionis.

Bagi Penggerak Pertubuhan Aspirasi Prihatin Malaysia Negeri Perlis, Hashimah Ismail yang turut menyertai himpunan berkata, masyarakat Islam perlu bangkit memberi sokongan berterusan kepada rakyat Palestin yang berjuang selama 75 tahun akibat penjajahan tentera Israel, keganasan pendudukan dan 16 tahun sekatan tentera ke atas Gaza sejak 2006.

Peserta program tersebut membawa bendera Palestin, memakai 'mafla' dan 'Head Band' bermotif Palestin, plakad serta melaungkan ‘Palestin’, ’Free Palestin’ bagi mengecam tindakan kejam tentera Israel terhadap rakyat Palestin.

Hadir sama dalam himpunan berkenaan adalah Speaker Dewan Undangan negeri, Rus’sele Eizan, Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan & Prasarana negeri, Izizam Ibrahim dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beseri, Haziq Asyraf Dun.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD