PUTRAJAYA, 6 Julai - Hampir 1,000 jemaah hadir memenuhi Masjid Putra, di sini sempena Majlis Bacaan Doa Akhir dan Awal Tahun 1446 Hijrah.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, umat Islam digalakkan untuk memperbaharui niat dengan harapan segala ibadat yang dilaksanakan diterima Allah SWT.
"Tahun 1446 hijri ini kita meninggalkan segala keburukan yang kita lakukan maksiat yang lakukan pada 1445 hijri, kita mohon Allah ampunkan segala dosa kita dan juga Allah SWT memberi kekuatan untuk kita memastikan tahun 1446 hijri ini kita akan melakukan ibadah kepada Allah SWT dengan sebaik-baiknya dan dalam masa sama memastikan kita menjadi rakyat Malaysia yang bertanggungjawab, rakyat Malaysia yang berbudi pekerti, rakyat Malaysia yang mempunyai akhlak yang tinggi," kata Dr Na’im.
Majlis berlangsung pukul 6.45 petang itu dimulakan dengan bacaan doa akhir tahun dan bacaan doa awal tahun dibaca sejurus selepas azan Maghrib.
Bacaan doa akhir dan awal tahun telah dipimpin oleh Imam Besar Masjid Putra, Sahibul Fadhilah Dr. Muhamad Zakuwa Rodzali.
Solat hajat dan bacaan yasin beramai-ramai turut diadakan bagi memohon keselamatan dan keberkahan.
Tema sambutan Maal Hijrah pada tahun ini ialah Al-Falah Pemacu Malaysia Madani. Tema tersebut adalah manifestasi daripada intipati ajaran Rasulullah SAW dan ia merupakan satu tema yang sangat signifikan bagi memacu umat di negara ini ke arah kejayaan yang hakiki dunia dan akhirat.
Selain itu, kita sebagai umat Islam juga dianjur untuk menghayati peristiwa penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari Mekah ke Madinah untuk terus memperbaiki diri ke arah yang lebih baik.