SHAH ALAM, 17 November - 1,361 keluarga berpendapatan rendah dan sederhana di Selangor menikmati manfaat Skim Smart Sewa sejak diperkenalkan lapan tahun lalu.
Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, setiap tahun, kerajaan negeri memperuntuk dana bagi menambah unit kediaman untuk memastikan lebih ramai golongan memerlukan mendapat manfaat skim itu.
Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor, LPHS, akan terus merancang pembelian unit tambahan bagi Skim Smart Sewa.
Skim itu ketika ini menawarkan 1,199 unit rumah dan jumlahnya dijangka meningkat kepada 3,000 unit menjelang 2027.
"Secara keseluruhan, seramai 239 orang peserta telah mencapai tempoh maksimum kontrak selama lima tahun. Daripada jumlah tersebut, 68 peserta telah menamatkan penyewaan dan berpindah keluar disebabkan oleh beberapa faktor, antaranya iaitu peserta telah membeli rumah sendiri, berpindah ke tempat kerja baru, tamat tempoh sewaan maksimum dan lain-lain sebab. "
Baki seramai 171 peserta telah menyambung tempoh penyewaan tambahan iaitu lanjutan maksimum dua tahun lagi iaitu bagi tahun keenam dan ketujuh.
"Tempoh penyewaan tambahan ini dibenarkan bawah syarat skim ini kerana bertujuan untuk memberi peluang lagi kepada penyewa yang masih belum mampu dan stabil dalam memiliki kediaman sendiri," kata beliau ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Gasing, R Rajiv dalam persidangan DUN Selangor di Shah Alam.