PRN Johor: KTMB tambah 7,464 tempat duduk ETS

KTMB menyediakan 7,464 tempat duduk tambahan ETS sempena PRN Johor.

KUALA LUMPUR, 8 JULAI – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menyediakan sebanyak 7,464 tempat duduk tambahan menerusi perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) bagi laluan JB Sentral-Gemas-JB Sentral serta KL Sentral-JB Sentral-KL Sentral sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

RINGKASAN BERITA AI
  • KTMB tambah empat perkhidmatan ETS bagi laluan KL Sentral - JB Sentral - KL Sentral dan empat bagi JB Sentral - Gemas - JB Sentral.
  • Secara keseluruhan 2,488 tempat duduk tambahan disediakan setiap hari, sepanjang tempoh operasi 10 hingga 12 Julai 2026.
  • KTMB tawar diskaun promosi 20 peratus untuk ETS tambahan; dinasihatkan tiba 30 minit lebih awal dan berada di pintu masuk lima minit sebelum berlepas.

KTMB dalam kenyataan memaklumkan, penambahan perkhidmatan itu dibuat susulan permintaan tinggi selepas tiket tren tambahan yang mula dijual pada 19 Jun lalu habis dijual.

Sehubungan itu, KTMB menambah empat perkhidmatan ETS bagi laluan KL Sentral-JB Sentral-KL Sentral serta empat lagi perkhidmatan bagi laluan JB Sentral-Gemas-JB Sentral.

Tambah kenyataan itu, jualan tiket bagi laluan JB Sentral-Gemas-JB Sentral telah dibuka pada Selasa bermula pukul 3.00 petang, manakala tiket tambahan bagi laluan KL Sentral–JB Sentral–KL Sentral mula dijual pada Rabu pada pukul 9.00 pagi.

Secara keseluruhan, sebanyak 2,488 tempat duduk tambahan disediakan setiap hari, menjadikan jumlah keseluruhan 7,464 tempat duduk sepanjang tiga hari operasi, iaitu dari 10 hingga 12 Julai 2026.

Bagi menggalakkan penggunaan pengangkutan awam, KTMB turut menawarkan tambang promosi dengan diskaun 20 peratus bagi perkhidmatan ETS tambahan sepanjang tempoh 10 hingga 12 Julai 2026.

KTMB menasihati orang ramai, terutama penumpang dari luar Johor serta mereka yang berada di luar daerah dalam negeri itu, memanfaatkan perkhidmatan ETS tambahan bagi membolehkan mereka pulang menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

Menurut kenyataan itu lagi, inisiatif berkenaan selaras dengan usaha KTMB menggalakkan penggunaan pengangkutan awam menerusi inisiatif Road to Rail.

Penumpang turut dinasihatkan supaya tiba di stesen sekurang-kurangnya 30 minit sebelum waktu berlepas bagi melancarkan proses menaiki tren, selain memastikan mereka berada di pintu masuk sebelum ia ditutup lima minit sebelum tren bertolak.

Maklumat lanjut mengenai perkhidmatan tren tambahan, termasuk jadual perjalanan, boleh diperoleh menerusi platform media sosial rasmi KTMB atau dengan menghubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-9779 1200.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.