‘Undi awal beri ruang kami fokus tugas pada hari mengundi’ – Pegawai polis

Inspektor Ramona Roslan dan Inspektor Mohd Azrul Mohamad Yusoff ditemui media di pekarangan Pusat Pengundian Awal di Dewan Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) No. 2, Ibu IPK Johor hari ini/ RTM

JOHOR BAHRU, 7 Julai-Proses pengundian awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 di N.33 Tenggaroh, Mersing hari ini merekodkan kadar kehadiran 93 peratus melibatkan pengundi awal dalam kalangan warga tentera dan pasangan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pegawai polis menunaikan undi awal, lega menunaikan amanah dan dapat memberi tumpuan kepada tugasan keselamatan pada hari mengundi
  • Peti undi dipindahkan dari pusat pengundian awal ke IPD dan disimpan di bawah kawalan polis sehingga hari pengiraan
  • PRN Johor ke-16 membabitkan 172 calon merebut 56 kerusi, dengan hari pengundian rasmi pada 11 Julai

Seramai 1,052 daripada 1,128 pengundi berdaftar hadir mengundi di Kem Iskandar, Mersing.

Peti undi daripada tiga saluran di pusat pengundian awal berkenaan dibawa keluar pada 5.22 petang dan disimpan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing sebelum proses pengiraan undi pada hari pengundian rasmi.

Saluran tiga merekodkan jumlah pengundi tertinggi dengan 404 undi, diikuti saluran dua sebanyak 332 undi dan saluran satu sebanyak 316 undi.

Sementara itu, proses pengundian awal bagi warga polis dan pasangan di IPD Mersing merekodkan 90.4 peratus kehadiran apabila 295 daripada 326 pengundi hadir, manakala 19 lagi mengundi menerusi pos.

Di Johor Bahru, pusat pengundian awal bagi N.46 Perling di Dewan Nusantara Markas Polis Marin Wilayah Dua ditutup pada 5.00 petang dengan proses pemindahan peti undi berjalan lancar.

Kesemua peti undi dibawa ke IPD Johor Bahru Selatan untuk disimpan sebelum penjumlahan undi dibuat pada 11 Julai.

Sementara itu, sebanyak tiga peti undi turut dibawa keluar dari Pusat Pengundian Awal di Dewan Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) No. 2, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor kira-kira 5.40 petang sebelum dihantar ke IPD Johor Bahru Selatan untuk simpanan.

Inspektor Ramona Roslan yang ditemui pemberita berkata beliau bersyukur kerana dapat menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal sebelum memberi tumpuan kepada tugasan pada hari mengundi pada Sabtu ini.

“Saya bersyukur kerana dapat mengundi hari ini. Saya dapat menunaikan amanah sebagai seorang pegawai polis dan berasa lega kerana telah melaksanakan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia,” katanya.

Inspektor Mohd Azrul Mohamad Yusoff pula berkata anggota penguat kuasa dapat melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi lebih awal bagi membolehkan mereka memberi fokus kepada tugasan keselamatan.

“Kami sebagai penguat kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melaksanakan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia dengan keluar mengundi awal. Kepada rakyat Malaysia yang mengundi di Johor, saya menyeru supaya hadir pada 11 Julai bagi menunaikan tanggungjawab masing-masing,” katanya,” jelasnya.

Di Kluang, sebanyak sembilan peti undi dari Pusat Pengundian Awal Dewan Mahkota, Kem Mahkota dibawa keluar kira-kira 5.45 petang selepas proses pengundian selesai.

Peti undi berkenaan kemudian dihantar ke IPD Kluang untuk disimpan dengan kawalan keselamatan pihak polis sehingga hari pengundian dan pengiraan undi.

PRN Johor ke-16 menyaksikan seramai 172 calon bertanding bagi merebut 56 kerusi dengan tempoh berkempen berbaki tiga hari sebelum hari pengundian pada 11 Julai.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.