Tiga nama calon MB Negeri Sembilan telah dikemuka kepada istana

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi/ RTM

SEREMBAN, 2 Ogos- Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan gabungan itu telah mengemukakan tiga nama calon Menteri Besar Negeri Sembilan untuk pertimbangan dan perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelantikan Menteri Besar baharu tertakluk kepada budi bicara dan hak mutlak Tuanku Muhriz.
  • Ahmad Zahid tidak mendedahkan nama calon, keputusan akan dikeluarkan oleh Istana.
  • Gabungan BN dan PN memperoleh sokongan majoriti 25 daripada 36 kerusi DUN, membolehkan kerajaan negeri baharu.

Beliau memaklumkan perkara itu kepada pemberita selepas selesai menghadap Tuanku Muhriz di Istana Hinggap di sini, malam tadi bagi mempersembahkan watikah berkenaan.

Menurutnya, pelantikan Menteri Besar baharu kini tertakluk kepada budi bicara dan hak mutlak Tuanku Muhriz.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri, bagaimanapun tidak mendedahkan nama calon yang dipersembahkan dan memaklumkan bahawa sebarang keputusan mengenai perkara itu akan dikeluarkan oleh pihak istana.

“Pihak Istana akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung pelantikan tersebut dalam masa terdekat,” katanya.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata kerajaan negeri baharu akan dibentuk hasil sokongan majoriti 25 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diperoleh gabungan BN dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.

Beliau berkata, BN memenangi 18 kerusi, manakala PN memperoleh tujuh kerusi pada pilihan raya berkenaan.

“Alhamdulillah, tahniah semua calon BN. Saya dititahkan untuk menghadap malam ini dan istana akan mengeluarkan kenyataan secepat mungkin… dengan 25 kerusi ini, atas perkenan Tuanku, kerajaan BN dan PN akan terbentuk sebagai kerajaan baharu untuk Negeri Sembilan,” katanya.

Terdahulu, Tuanku Muhriz berkenan menerima menghadap Datuk Seri Dr Ahmad Zahid pada kira-kira 10.00 malam Sabtu.

Sementara itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid menerusi hantaran di Facebook memaklumkan pada sesi menghadap tersebut, beliau telah mempersembahkan hasil keputusan pilihan raya serta kesepakatan yang dicapai antara BN dan PN.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.