
TAMPIN, 31 Julai – Keputusan penuh Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dijangka diperoleh sebelum pukul 12 tengah malam dengan keputusan awal dijangka diumumkan seawal 10 malam, esok.
- Pemantauan SPR mendapati proses akhir termasuk semakan peti undi berjalan lancar; SPR yakin proses pengundian dilaksanakan dengan teratur.
- SPR menyeru semua pemilih yang layak keluar menunaikan tanggungjawab mengikut tempoh ditetapkan dan mematuhi peraturan.
- Esok 401 pusat mengundi, 1,668 saluran dibuka 8 pagi hingga 6 petang dengan 15,344 petugas pilihan raya.
- SPR tidak menerima sebarang aduan rasmi berkaitan dakwaan politik wang; laporan rasuah perlu disalur kepada SPRM atau PDRM.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun memaklumkan jangkaan itu berdasarkan persiapan akhir pihaknya di semua pusat penjumlahan rasmi undi.
“Hasil pemantauan mendapati semua proses akhir termasuk semakan peti undi berjalan lancar dan SPR yakin proses pengundian juga dilaksana dengan teratur.
“Semua daftar pemilih yang layak disaran keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing mengikut tempoh yang ditetapkan dan mematuhi peraturan,”katanya selepas meninjau sendiri proses semakan peti undi di Dewan Perdana Tampin.
Esok, 401 pusat mengundi melibatkan 1,668 saluran dibuka bermula 8 pagi hingga 6 petang dengan penugasan seramai 15,344 petugas pilihan raya bagi melancarkan proses pengundian.
Beliau turut memaklumkan SPR tidak menerima sebarang aduan rasmi berkaitan dakwaan politik wang sepanjang tempoh kempen dan hari pengundian awal.
“Sebarang laporan berkaitan rasuah perlu disalur kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut,”katanya.