PRN Negeri Sembilan: DUN Nilai saksikan pertembungan lima penjuru

Calon PH bagi DUN Nilai, J. Arul Kumar (dua,kiri) bersama para pencabarnya dari BN Lai Chien Kong (dua,kanan), Bersatu Datuk V. Saravan Kumar Veerasamy (kanan), Berjasa Zamani Ibrahim (kiri) dan calon Bebas Omar Mohd Isa (tengah) pada penamaan calon PRN Negeri Sembilan ke – 16/ BERNAMA

SEREMBAN, 18 Julai – Dewan Undangan Negeri (DUN) N10 Nilai menyaksikan pertembungan lima penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 selepas lima calon berjaya mengemukakan kertas pencalonan di Pusat Penamaan Calon, Wisma Majlis Bandaraya Seremban, pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penyandang J. Arul Kumar mempertahankan kerusi DUN Nilai, dicabar BN Lai Chien Kong, Bersatu V. Saravana, BERJASA Zamani dan calon Bebas Omar Isa.
  • Daftar Pemilih terkini mencatat 889,490 pengundi berdaftar; 867,151 pengundi biasa, 16,884 pengundi tentera dan pasangan, 5,455 pengundi polis.
  • SPR menetapkan hari pengundian PRN Negeri Sembilan ke-16 pada 1 Ogos; pengundian awal pada 28 Julai.

Pengumuman calon yang layak bertanding dibuat Pegawai Pengurus bagi Parlimen Seremban, Datuk Ir. Ts. Masri Baharudin.

Penyandang kerusi DUN Nilai daripada Pakatan Harapan (PH), J. Arul Kumar, akan mempertahankan kerusinya dengan dicabar calon Barisan Nasional (BN), Lai Chien Kong.

Turut menawarkan diri ialah calon Parti BERJASA, Zamani Ibrahim, calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk V. Saravana Kumar serta calon Bebas, Omar Mohamad Isa.

Pada PRN Negeri Sembilan ke-15 tahun 2023, J. Arul Kumar memenangi kerusi DUN N10 Nilai selepas memperoleh 19,133 undi, menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Gan Chee Biow, dengan majoriti 10,889 undi.

Berdasarkan Daftar Pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang dikemas kini sehingga 4 Jun 2026, Negeri Sembilan merekodkan 889,490 pengundi berdaftar yang layak mengundi pada PRN kali ini. Daripada jumlah itu, 867,151 ialah pengundi biasa, manakala 16,884 anggota tentera dan pasangan serta 5,455 anggota polis merupakan pengundi awal.

Pada PRN Negeri Sembilan lalu, Pakatan Harapan memenangi 17 daripada 36 kerusi DUN, diikuti Barisan Nasional dengan 14 kerusi dan Perikatan Nasional lima kerusi.

SPR menetapkan hari pengundian bagi PRN Negeri Sembilan ke-16 pada 1 Ogos ini, manakala pengundian awal dijadual berlangsung pada 28 Julai.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.