
SEREMBAN, 21 Julai- Manifesto Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 disifatkan sebagai kesinambungan kepada pelaksanaan serta pencapaian kerajaan negeri sebelum ini.
- Manifesto berasaskan pengalaman pentadbiran dan rekod pencapaian yang telah dilaksanakan.
- Pembangunan sebelum ini menghasilkan pencapaian ekonomi dan manfaat yang dirasai rakyat secara langsung.
- PH beriltizam meneruskan usaha, memperkukuh pencapaian ekonomi dan memastikan manfaat pembangunan kepada masyarakat.
Timbalan Setiausaha Agung DAP, Steven Sim berkata manifesto berkenaan berasaskan pengalaman pentadbiran serta rekod pencapaian yang telah dilaksanakan.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata pembangunan yang dilaksanakan sebelum ini bukan sahaja dapat dilihat menerusi pencapaian ekonomi, malah manfaatnya turut dirasai rakyat secara langsung.
“Manifesto yang dikeluarkan oleh PH adalah berasaskan dua perkara iaitu pengalaman dan pencapaian. Ia telah pernah dibuat dan dilaksanakan.
“Ini adalah penambahbaikan serta kesinambungan daripada apa yang telah dilaksanakan sebelum ini,” katanya ketika ditemui pemberita di perhimpunan bersama warga Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) di sini hari ini.
Steven Sim berkata manifesto berkenaan turut mencerminkan iltizam PH untuk meneruskan usaha kepada rakyat serta memastikan pencapaian ekonomi yang direkodkan sebelum ini dapat diperkukuh.
Menurutnya, kesinambungan dasar dan inisiatif sedia ada penting bagi memastikan pembangunan negeri terus memberi manfaat kepada masyarakat.
Manifesto PH bagi PRN Negeri Sembilan ke-16 telah dilancarkan malam tadi yang menawarkan 10 komitmen utama yang memberi tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi, peluang pekerjaan, kebajikan rakyat, pendidikan, perumahan dan tadbir urus kerajaan.