
JOHOR BAHRU, 8 Julai – Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik menegaskan manifesto yang ditawarkan parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, disusun berdasarkan keperluan rakyat.
- Manifesto disertakan mekanisme pemantauan untuk memastikan setiap janji dapat dilaksanakan, diukur melalui data dan angka serta dipantau secara berterusan.
- Papan pemuka disediakan supaya rakyat, guru dan Ahli Parlimen dapat mengikuti perkembangan serta memantau pelaksanaan projek seperti pembinaan sekolah.
- Sasaran 80,000 rumah mampu milik dalam lima tahun akan direalisasikan melalui kerjasama strategik sektor awam dan swasta dengan sokongan agensi Persekutuan.
Selain itu, ia turut disertakan dengan mekanisme pemantauan bagi memastikan setiap perkara yang dijanjikan dapat dilaksanakan.
“Ini merupakan antara usaha dan tekad kami hasil kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan yang boleh dilaksanakan. Semua pelaksanaannya boleh diukur melalui data dan angka, serta dipantau secara berterusan.
“Malah, antara komitmen kami ialah menyediakan dashboard supaya rakyat dapat mengikuti perkembangan dan memantau pelaksanaannya.
“Saya kira perkara ini bukan sesuatu yang baharu. Sebagai contoh, bagi pembinaan sekolah daif, saya telah menyediakan satu papan pemuka di laman sesawang untuk dipantau bukan sahaja oleh guru dan Ahli Parlimen, malah oleh seluruh rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan seorang penonton mengenai jaminan pelaksanaan manifesto selepas PRN dalam Sesi Dialog PRN Johor di Auditorium Permata Sari, RTM Johor di sini.
Beliau turut yakin sasaran pembinaan 80,000 rumah mampu milik di Johor dalam tempoh lima tahun mampu direalisasikan menerusi kerjasama strategik antara sektor awam dan swasta.
Menurutnya, usaha itu turut mendapat sokongan agensi Kerajaan Persekutuan bagi menangani kenaikan harga rumah yang didorong permintaan tinggi.