SAUDARA PENGARANG
Sektor pertanian Malaysia kini berada di persimpangan kritikal dalam usahanya menjamin keterjaminan makanan negara. Salah satu cabaran utama ialah perubahan demografi tenaga kerja, di mana sebahagian besar petani dan pengusaha ladang adalah dalam kalangan warga emas.
Menurut Laporan Banci Pertanian 2024, yang baru dilancarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), hampir 62 peratus daripada petani utama di Malaysia berusia 60 tahun ke atas, manakala hanya sekitar 15 peratus adalah golongan belia berusia bawah 40 tahun.
Realiti itu mencerminkan jurang generasi yang semakin melebar dalam sektor pertanian, sekali gus menimbulkan persoalan tentang masa depan keselamatan makanan negara. Pada 2023, sektor pertanian negara telah menyumbang sekitar 6.4 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.
Menurut Laporan KDNK mengikut negeri, empat negeri yang mencatatkan sumbangan sektor pertanian yang signifikan kepada ekonomi negeri adalah Sabah, Perlis, Kelantan dan Pahang dengan masing-masing menyumbang 15.3 peratus, 17.4 peratus, 20.3 peratus dan 21.9 peratus terutamanya dalam komoditi kelapa sawit, padi, sayur-sayuran dan buah-buahan.
Namun, kelangsungan pengeluaran itu sangat bergantung kepada keupayaan fizikal warga emas yang masih aktif. Ketiadaan pelapis muda serta keengganan generasi baharu menceburi bidang ini menambah tekanan kepada warga emas yang kebanyakannya terus bertani demi kelangsungan hidup dan minat peribadi.
Ketika banyak sektor lain mengalami pembaharuan teknologi dan tenaga kerja, sektor pertanian kekal konservatif dan berisiko tinggi mengalami keusangan struktur tenaga kerja.
Selain itu, kebergantungan kepada pekerja asing menjadi cabaran berganda. Statistik DOSM menunjukkan lebih 72 peratus tenaga kerja di ladang-ladang komersial adalah warga asing, terutamanya dalam subsektor seperti kelapa sawit dan getah.
Pergantungan berkenaan mendedahkan sektor pertanian kepada risiko besar, khususnya apabila berdepan gangguan kemasukan pekerja asing seperti yang berlaku semasa pandemik COVID-19. Krisis tersebut menjadi pengajaran penting bahawa kelangsungan pertanian negara tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada tenaga buruh luar.
Laporan Kajian Petani Tua oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) pada tahun 2021 turut mendedahkan bahawa 64 peratus daripada petani warga emas mengalami keletihan fizikal yang ketara dan memerlukan sokongan peralatan serta teknologi mesra pengguna untuk kekal produktif.
Ramai daripada mereka juga tidak mempunyai pelan pewarisan pertanian yang jelas, menyebabkan tanah pertanian terbiar selepas mereka tidak lagi mampu mengusahakannya. Justeru, ini menimbulkan risiko kehilangan aset pertanian negara dan menjejaskan hasil makanan tempatan.
Namun begitu, warga emas tidak harus dilihat sebagai beban atau kekangan kepada sektor pertanian. Sebaliknya, mereka adalah pemegang ilmu dan pengalaman yang berharga.
Mereka merupakan "khazanah hidup" yang dapat menyumbang dalam pelbagai bentuk, bukan sahaja dari segi pengeluaran hasil, malah dalam bimbingan teknikal dan pembangunan modal insan.
Kerajaan wajar memperkenalkan skim khas seperti Program Agropreneur Veteran bagi menyediakan bantuan kewangan, peralatan automasi ringan serta bimbingan teknikal bagi warga emas meneruskan usaha tani secara berdaya tahan dan selamat.
Salah satu pendekatan strategik yang boleh diperkenalkan ialah menggalakkan penyertaan profesional pertanian yang telah bersara untuk kembali menyumbang sebagai tenaga pakar.
Mereka boleh dilantik sebagai penasihat lapangan, jurulatih teknikal dan penceramah dalam program pembangunan komuniti tani. Melalui inisiatif itu, ilmu dan kepakaran mereka tidak disia-siakan, bahkan dapat dipindahkan kepada generasi baharu dengan lebih sistematik dan berimpak tinggi.
Di samping itu, program mentor-menti profesional antara warga emas dengan golongan belia wajar dimulakan di peringkat daerah. Program ini boleh dijalankan dengan kerjasama Jabatan Pertanian, Pertubuhan Peladang, dan institut latihan seperti Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).
Mentor dalam kalangan warga emas yang berpengalaman boleh membimbing menti yang terdiri daripada graduan atau agropreneur muda tentang kaedah amalan baik pertanian, selok-belok pasaran, pengurusan kewangan, strategi perniagaan serta nilai-nilai keusahawanan dalam pertanian.
Model tersebut mampu merapatkan jurang generasi dan menjamin pewarisan pengetahuan secara berstruktur. Teknologi pertanian juga perlu disesuaikan dengan keperluan warga emas.
Sebagai contoh, peralatan pertanian automatik berskala kecil, sistem fertigasi mudah alih, dan aplikasi mudah alih untuk pemantauan tanaman boleh dimanfaatkan bagi mengurangkan tekanan fizikal dan memaksimumkan hasil.
Pusat pengembangan dan inovasi pertanian di peringkat daerah perlu diaktifkan sebagai hab latihan dan sokongan teknikal kepada petani warga emas yang ingin beralih kepada kaedah pertanian pintar dan cekap tenaga.
Program penghargaan kepada petani warga emas yang berjaya juga patut diperkenalkan. Anugerah seperti "Tokoh Petani Veteran" atau "Petani Inovatif Warga Emas" boleh dijadikan platform untuk mengiktiraf sumbangan mereka dan memberi inspirasi kepada generasi muda.
Selain itu, penyertaan mereka dalam forum, dialog dasar, dan pameran pertanian juga perlu dipertingkatkan agar suara mereka terus relevan dalam merangka masa depan pertanian negara.
Kesimpulannya, warga emas adalah tulang belakang yang selama ini menyokong sektor pertanian Malaysia. Mengiktiraf peranan mereka bukan sekadar simbolik, tetapi harus disusuli dengan dasar yang praktikal dan inklusif.
Melalui pendekatan bersepadu yang melibatkan teknologi, pengiktirafan, pemindahan ilmu dan latihan semula, kita bukan sahaja menghormati jasa mereka, malah memperkukuh kestabilan dan keterjaminan makanan negara secara mampan untuk generasi akan datang.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.
Dr. Mohd Desa Hassim
Perunding Latihan Kanan
Program Pengajian Dasar Awam
Pengurusan Projek dan Governan
Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Bukit Kiara
e-mel: