SAUDARA PENGARANG
Aspirasi utama Pelan Pendidikan Masa Depan Malaysia 2026-2036 yang diumumkan YB Menteri Pendidikan adalah untuk memberi tumpuan kepada sekolah, pembangunan murid, dan pelaksanaan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) dalam proses pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc).
Dengan sistem pendidikan yang menuju kearah penerapan teknologi digital, Pemikiran Sistem (Systems Thinking) dilihat mampu menyediakan satu rangka kerja pemikiran yang bersifat holistik dalam kemenjadian murid.
Pemikiran Sistem berakar umbi daripada Teori Sistem (Systems Theory) yang muncul pada pertengahan abad ke-20. Ahli biologi, Ludwig von Bertalanffy memperkenalkan Teori Sistem Am (General Systems Theory) pada tahun 1940-an.
Beliau mencadangkan bahawa organisma hidup, sosial, dan fizikal boleh difahami sebagai sistem yang terdiri daripada bahagian-bahagian berbeza yang saling berinteraksi untuk mencapai tujuan bersama.
Pemikiran Sistem kemudiannya berkembang dan diperkukuh dalam bidang kejuruteraan sistem dengan sumbangan jurutera komputer- Jay Forrester dari MIT, yang meneroka dinamik sistem industri dan sosial menggunakan pemodelan simulasi untuk memahami titik leverage - titik dalam sistem di mana perubahan kecil boleh menyebabkan perubahan besar.
Kepentingan dalam Konteks Pendidikan di Malaysia
Pemikiran Sistem mengajar kita untuk mengenal pasti lingkaran maklum balas (feedback loops) yang menentukan bagaimana dan mengapa sesebuah sistem berfungsi seperti yang sedemikian.
Sebagai contoh, kita bukan hanya melihat kesesakan lalu lintas sebagai isu jumlah kenderaan yang berlebihan (simptom), namun Pemikiran Sistem mendorong kita untuk melihat punca utama seperti perancangan bandar, dasar pengangkutan negara, dan juga gaya hidup masyarakat (struktur sistem) yang berinteraksi menghasilkan kesesakan yang berterusan. Ini membolehkan kita mencipta penyelesaian yang lebih efektif dan mampan.
Pemikiran Sistem adalah perluasan logik kepada Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT). Ia melangkaui pemikiran kritis dengan fokus kepada sintesis, analisis dinamik, dan penilaian holistik. Sebagai contoh, cabaran yang dihadapi Malaysia dalam isu kelestarian alam sekitar (e.g. isu banjir bandar), memerlukan murid untuk menganalisis pelbagai pemboleh ubah yang saling berkaitan.
Pemikiran sistem melatih murid untuk tidak hanya menyelesaikan masalah tetapi turut mengubah struktur yang mencipta masalah tersebut. Dalam konteks etika dan kerohanian, pemikiran sistem membantu murid memahami kesan tindakan individu terhadap masyarakat dan ekosistem yang lebih besar, dan seterusnya memupuk tanggungjawab kolektif.
Malaysia adalah sebuah negara majmuk. Isu perpaduan sering dilihat sebagai masalah terpencil, tetapi hakikatnya adalah hasil daripada sistem sosial yang kompleks yang melibatkan pendidikan, politik, ekonomi, dan sejarah.
Dengan Pemikiran Sistem, murid dapat memahami bagaimana dasar pendidikan (e.g. sekolah kebangsaan dan vernakular) berinteraksi dengan faktor sosioekonomi dan politik untuk membentuk perhubungan etnik.
Ini menggalakkan empati dan pemahaman struktur mengapa sesuatu isu sensitif wujud. Disamping itu, ia membantu menolak penyelesaian mudah yang sering menjadi punca perpecahan, sebaliknya mencari penyelesaian yang mengukuhkan hubungan merentas sempadan kaum dan wilayah.
Dalam menghadapi Revolusi Industri 4.0 dan cabaran kelestarian, murid perlu memahami bagaimana teknologi, alam sekitar, dan masyarakat saling bergantungan.
Teknologi digital dalam pendidikan (e.g. simulasi) membolehkan murid memodelkan sistem ekonomi atau ekologi dan memberi mereka peluang memiliki pengalaman langsung simulasi tentang kesan jangka panjang daripada keputusan yang dibuat dalam tempoh jangka pendek.
Selain itu, pemikiran sistem menyediakan mereka satu rangka kerja untuk membangunkan peranan mereka dalam industri berasaskan pengetahuan dan inovasi.
Kesimpulan
Pemikiran Sistem adalah paradigma baharu yang perlu diserap ke dalam roh pendidikan negara. Ia menyediakan rangka kerja untuk menyatukan ilmu dan seterusnya membentuk warganegara yang bukan sahaja bijak berfikir secara kritis tetapi juga mampu melihat dunia sebagai satu rangkaian sistem yang saling berhubung.
Integrasi sistem ini akan memastikan bahawa generasi muda Malaysia dibekalkan dengan keupayaan untuk menghadapi cabaran domestik dan global dengan kebijaksanaan dan tanggungjawab yang lebih besar, dan sekali gus merealisasikan aspirasi negara.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Dr. Nurul Hijja Mazlan
Pensyarah Kanan
Bidang Sistem Pembelajaran Pintar (Intelligent Learning System)
Fakulti Sains Komputer dan Matematik
Universiti Teknologi MARA, Shah Alam
e-mel: