fb fb fb fb fb

Pemeriksaan kesihatan: Jangan tangguh, cegah sebelum parah

Foto hiasan/Arkib BERNAMA

SAUDARA PENGARANG

Kesihatan yang baik bukan sekadar satu nikmat, tetapi satu aset berharga yang mesti dijaga. Ramai masih beranggapan bahawa pemeriksaan kesihatan hanya diperlukan apabila sudah sakit. Realitinya, pemeriksaan berkala adalah langkah pencegahan paling penting dalam mengenal pasti penyakit pada peringkat awal. Langkah kecil seperti pemeriksaan kesihatan tahunan boleh memberi kesan besar dalam menyelamatkan nyawa dan mencegah komplikasi, lebih serius.

Laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendedahkan situasi kesihatan awam membimbangkan. Dua daripada lima orang dewasa yang menghidap diabetes tidak menyedari bahawa mereka menghidap penyakit tersebut. Begitu juga, satu daripada dua orang dewasa yang mempunyai paras kolesterol tinggi tidak mengetahui status kesihatan mereka, manakala seorang daripada sepuluh orang dewasa tidak sedar bahawa mereka menghidap tekanan darah tinggi.

Selain itu, lebih daripada 50 peratus penduduk dewasa di Malaysia mengalami masalah berat badan berlebihan atau obesiti, sekali gus meningkatkan risiko pelbagai penyakit. Dalam masa sama, dianggarkan lebih sejuta rakyat Malaysia berumur 16 tahun ke atas sedang mengalami kemurungan.

Apa yang lebih membimbangkan, dua daripada lima orang dewasa berumur 18 tahun ke atas tidak pernah menjalani sebarang pemeriksaan kesihatan dalam tempoh dua belas bulan lalu. Situasi ini menunjukkan keperluan mendesak untuk meningkatkan kesedaran dan tindakan terhadap kepentingan pemeriksaan kesihatan secara berkala, bukan sahaja dari segi fizikal, malah juga kesejahteraan mental dan emosi.

Saringan Kesihatan: Pelaburan Kecil, Manfaat Besar

Ramai masih menganggap pemeriksaan kesihatan sebagai satu beban, baik dari segi masa mahu pun kos. Namun, pada hari ini, pelbagai inisiatif telah diperkenalkan oleh kerajaan dan sektor swasta untuk memastikan perkhidmatan kesihatan asas dapat dicapai dengan mudah.

Contohnya, program PEKA B40 menawarkan saringan percuma kepada golongan berpendapatan rendah, manakala PERKESO menyediakan pemeriksaan kesihatan percuma untuk pencarum yang layak. Di samping itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut menjalankan program saringan kesihatan secara berkala melalui perkhidmatan bergerak di kawasan komuniti serta di klinik kesihatan.

Saringan setahun sekali sebenarnya memadai untuk memantau tahap kesihatan asas seseorang, seperti berat badan, tekanan darah, paras gula, kolesterol, kesihatan mental, kanser dan lain-lain. Dengan mengenal pasti risiko lebih awal, seseorang boleh mendapatkan rawatan, membuat perubahan gaya hidup serta mengelakkan rawatan yang lebih mahal dan rumit di kemudian hari. Oleh itu, pemeriksaan kesihatan bukanlah satu pilihan, ia adalah pelaburan kecil dengan manfaat kesihatan jangka panjang.

Tiada Gejala Tidak Bermakna Sihat

Ramai orang beranggapan bahawa jika tiada simptom, maka mereka berada dalam keadaan sihat. Namun, ini adalah tanggapan yang salah dan berbahaya. Penyakit kronik seperti penyakit jantung, kanser atau gangguan mental sering kali berkembang dalam diam. Apabila gejala mula muncul, ia mungkin sudah berada di tahap yang serius dan sukar untuk dirawat.

Sebagai contoh, kanser payudara dan kanser serviks boleh dikesan melalui ujian saringan awal seperti mammogram dan pap smear. Begitu juga, diabetes, tekanan darah tinggi dan penyakit jantung boleh dicegah jika dikenal pasti awal melalui pemeriksaan kesihatan rutin. Oleh itu, jangan tunggu sakit baru bertindak. Pemeriksaan awal membolehkan rawatan dimulakan lebih awal dan meningkatkan peluang untuk sembuh.

Peranan Kita Membudaya Kesihatan

Kesedaran kesihatan perlu bermula dari rumah. Apabila ibu bapa menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala, anak-anak akan meniru dan menganggapnya sebagai norma. Tabiat ini membentuk budaya kesihatan dalam keluarga yang menjadi asas kepada masyarakat sihat secara keseluruhan. Pemeriksaan berkala bukan sahaja untuk warga emas atau mereka yang sakit, malah perlu dilakukan oleh semua peringkat umur terutamanya dalam kalangan mereka yang berisiko.

Selain menjaga diri sendiri, penting juga untuk menyebarkan kesedaran kepada keluarga, jiran dan komuniti sekitar. Saling mengingatkan antara satu sama lain untuk menjalani pemeriksaan kesihatan merupakan satu bentuk sokongan sosial yang sangat bernilai.

Mulakan dengan langkah mudah seperti mengajak pasangan atau ibu bapa untuk menjalani pemeriksaan bersama, berkongsi maklumat kesihatan melalui media sosial, menyertai program komuniti seperti Hari Kesihatan ataupun membantu rakan dan ahli keluarga yang mungkin takut atau malu untuk ke klinik. Apabila masyarakat mula peka terhadap kepentingan pemeriksaan kesihatan, kita sebenarnya sedang membina komuniti yang lebih sihat, lebih kuat dan lebih bersedia menghadapi cabaran kesihatan pada masa hadapan.

Dalam masa sama, komuniti yang prihatin akan melahirkan masyarakat yang sejahtera. Sekolah, tempat kerja, rumah ibadat dan institusi masyarakat perlu memainkan peranan penting dalam menyemai budaya kesihatan. Aktiviti seperti kempen saringan, ceramah kesihatan dan program komuniti boleh menjadi platform yang berkesan untuk pendidikan, promosi serta pelaksanaan pemeriksaan kesihatan secara terus kepada masyarakat.

Kesihatan Hari Ini, Harapan Masa Depan

Kesihatan adalah aset paling berharga dalam hidup. Tanpa kesihatan, kita tidak mampu bekerja, menjaga keluarga atau menikmati kehidupan. Oleh itu, kesihatan hari ini adalah harapan masa depan untuk diri sendiri, keluarga dan masyarakat.

Pemeriksaan kesihatan bukanlah sekadar tanggungjawab peribadi, tetapi satu usaha kolektif untuk memastikan kita hidup dalam persekitaran yang lebih sihat, produktif dan sejahtera. Mulakan hari ini, jangan tunggu gejala muncul. Lebih awal dikesan, lebih mudah dirawat. Satu pemeriksaan boleh membawa perubahan besar dalam hidup anda.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

PROF MADYA DR RAHMAT DAPARI
Professor Madya Dr. Rahmat Dapari
Pakar Perubatan Kesihatan Awam
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan
Universiti Putra Malaysia
Tel: 019-232 2815
Emel: Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

MAT YUNUS BIN SABRI