fb fb fb fb fb

Menginsankan teknologi, membina dunia digital berjiwa MADANI

Gambar hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

Dalam dunia yang serba moden ini, kita sedang menyaksikan satu perubahan besar yang tidak pernah berlaku sebelum ini — ledakan kecerdasan buatan (AI), pendigitalan dan automasi dalam hampir setiap aspek kehidupan. Daripada cara kita bekerja, berinteraksi, hingga cara kerajaan mentadbir, teknologi kini menjadi nadi utama pembangunan negara.

Namun, di sebalik kemajuan yang begitu pesat ini, muncul persoalan besar — ke manakah hala tuju manusia jika kemajuan ini hanya berteraskan kebendaan tanpa panduan nilai? Adakah kita sedang membina tamadun yang benar-benar kukuh, atau sekadar mengejar ilusi kemodenan yang akhirnya melemahkan akar kemanusiaan?

Firman Allah dalam ayat pertama diturunkan buat Nabi Terakhir junjungan kita ialah, “Bacalah dengan Nama Tuhan-Mu yang menciptakan”. (Al-‛Alaq:1). Dengan bahagian awal surah ini, yang diturunkan pada detik pertama Rasulullah SAW berhubung dengan Allah, diletakkan batu asas kefahaman keimanan yang luas, iaitu setiap urusan, setiap gerak langkah dan setiap tindakan hendaklah dimulakan dengan nama Allah dan diteruskan dengan nama Allah.

Allah itulah yang mencipta dan Dialah juga yang mengajar. Dari Allah asal mula kejadian dan dari Allah datangnya segala pengajaran dan segala ilmu pengetahuan. Manusia belajar dan mengajar, dan seluruhnya bersumberkan Allah yang Mencipta dan Mengajar.

Hakikat pertama Al-Quran yang diterima Rasulullah SAW inilah yang seharusnya diutamakan, yang terus mengawal perasaan kita, mengawal lidah kita, dan mengawal tindak-tanduk kita di sepanjang kehidupan kita selaku asas keimanan yang pertama.

Memahami asas inilah, kita sedar bahawa kemodenan hakiki memerlukan dua sayap: Nilai keimanan dan kecemerlangan ilmu duniawi. Kemajuan teknologi sememangnya penting. Ia membuka peluang baharu dalam pendidikan, kesihatan, ekonomi dan keselamatan.

Tetapi, seperti mana-mana alat yang dicipta manusia, ia boleh menjadi rahmat atau bencana. Kecerdasan buatan misalnya, mampu meringankan kerja manusia, namun juga boleh menggugat privasi, pekerjaan, malah keselamatan jika disalah guna.

Dalam mengejar kecemerlangan digital, manusia sering terperangkap dalam perlumbaan yang terlalu materialistik. Keuntungan, kuasa dan status menjadi ukuran kejayaan. Lalu nilai kemanusiaan, kejujuran dan adab kian terpinggir. Di sinilah datangnya peringatan yang amat bermakna daripada YAB Perdana Menteri dalam Program Malaysia Bermunajat 2025:

“Namun, seperti yang diingatkan oleh YAB Perdana Menteri dalam Program Malaysia Bermunajat 2025, kemajuan yang tidak berpaksikan kefahaman dan pencerahan nilai hanya akan melahirkan pembangunan yang rapuh dan tidak berakar.”

Kata-kata ini wajar direnungi oleh setiap lapisan masyarakat. Dalam usaha kita memacu Malaysia sebagai negara digital berpendapatan tinggi, kita tidak boleh meninggalkan asas moral dan spiritual yang menjadi tunjang bangsa. Teknologi yang tidak dipandu nilai akan kehilangan arah dan akhirnya memudaratkan manusia itu sendiri.

Oleh itu, sudah tiba masanya kita kembali menggali khazanah ilmu Islam dan warisan sarjana terdahulu. Mereka bukan sekadar tokoh agama, tetapi juga saintis, jurutera, ahli falsafah dan pentadbir unggul yang berjaya menggabungkan wahyu dan akal. Kehebatan tamadun Islam dahulu bukan kerana harta atau senjata, tetapi kerana ilmu yang disertai hikmah dan adab.

Khazanah ini harus dihamparkan semula untuk kita pelajari dan sesuaikan dengan cabaran masa kini. Dalam bidang teknologi misalnya, prinsip keadilan, amanah dan ihsan boleh dijadikan asas kepada reka bentuk algoritma dan dasar penggunaan AI. Begitu juga dalam pendidikan — pelajar bukan sahaja perlu mahir dalam sains dan teknologi, tetapi juga berakhlak dan memahami tanggungjawab sosial terhadap ciptaan mereka.

Usaha menyepadukan kecemerlangan ilmu dan kebijaksanaan nilai inilah yang menjadi teras pembangunan insan dalam Islam. Ia selaras dengan visi menyeluruh yang diajarkan oleh Rasulullah SAW, di mana ilmu adalah kunci bagi segala kejayaan.

Sabda Rasulullah SAW dalam hadithnya yang bermaksud, “Barang siapa yang menghendaki dunia, maka hendaklah dengan ilmu. Barangsiapa yang menghendaki akhirat, maka hendaklah dengan ilmu. Dan barangsiapa yang menghendaki kedua-duanya, maka hendaklah dengan ilmu.” (HR Tirmizi).

Hadith ini menggariskan bahawa segala ilmu pengetahuan, termasuk kemajuan teknologi hari ini, adalah kunci dan instrumen yang perlu kita kuasai demi mencapai kejayaan seimbang di dunia dan akhirat.

Negara yang membangunkan teknologi tanpa nilai kemanusiaan akan berhadapan krisis kepercayaan dan kehancuran sosial. Kita dapat lihat di peringkat global bagaimana data disalah guna, berita palsu disebarkan, dan jurang digital semakin melebar. Semua ini menunjukkan bahawa kemajuan tanpa panduan rohani tidak akan kekal lama.

Dalam konteks Malaysia MADANI, pembangunan digital mesti berpaksikan kesejahteraan manusia. AI seharusnya menjadi alat untuk memperkukuh kesejahteraan rakyat, bukan menggantikan manusia. Teknologi perlu memperkasa, bukan memperhambakan.

Untuk itu, dasar dan tatakelola yang adil, beretika dan berintegriti amat penting. Sektor awam dan swasta juga perlu bergerak seiring dengan semangat tanggungjawab sosial. Pelaburan dalam AI bukan sekadar untuk keuntungan ekonomi, tetapi untuk membina ekosistem yang mampan dan manusiawi.

Inilah yang membezakan pembangunan berasaskan nilai dengan pembangunan semata-mata berorientasikan keuntungan. Kita tidak menolak teknologi, sebaliknya ingin membimbingnya agar sejajar dengan fitrah manusia. Kemajuan yang berteraskan nilai akan menghasilkan masyarakat yang bukan sahaja bijak digital, tetapi juga matang moral dan spiritual.

Sebagaimana manusia tidak dapat hidup tanpa jiwa, teknologi juga tidak akan bermakna tanpa nilai. Maka, biarlah Malaysia menjadi contoh sebuah negara yang membangunkan dunia digital dengan jiwa Madani — mengimbangi kecanggihan dengan kemanusiaan, akal dengan iman, dan ilmu dengan hikmah.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

DR. NAJIAH ATHIRAH JAMALUDIN
Dr. Najiah Athirah Jamaludin
Jabatan Pengajian Islam
Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Batu Pahat

TS. DR. MAZIDAH MAT REJAB
Ts Dr Mazidah Mat Rejab
Pensyarah Kanan
Jabatan Kejuruteraan Perisian
Fakulti Komputer dan Teknologi Maklumat
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Batu Pahat

MAT YUNUS BIN SABRI