SAUDARA PENGARANG
TikTok mengukuhkan kedudukannya sebagai platform komunikasi yang penting dalam kalangan Generasi Z (Gen Z) di Malaysia, dengan 19.3 juta daripada 34 juta rakyat negara ini merupakan pengguna aktif platform terbabit.
Platform ini menawarkan gabungan unik hiburan, maklumat dan interaksi sosial yang dipacu algoritma untuk menghasilkan cadangan kandungan berdasarkan data peribadi pengguna dikenali sebagai For You Page (FYP).
Justeru, artikel ini akan mengupas mengenai tahap kesedaran pengguna TikTok dalam kalangan Gen Z Malaysia terhadap algoritma bagi mengelak perangkap ruang gema atau echo chamber berdasarkan penemuan satu kajian kualitatif bertajuk “The Digital Echo Trap: Gen Z Malaysia’s TikTok Algorithm Awareness is Not Absolute Immunity”.
Kesedaran algoritma Gen Z dan ilusi kawalan kandungan
Menurut kajian tersebut, walaupun pengguna dalam kalangan Gen Z mempunyai kesedaran dan keyakinan tinggi untuk mengawal kandungan TikTok, mereka sebenarnya masih berpotensi secara tidak sengaja untuk terperangkap dalam ruang gema digital secara halus tetapi ketara yang membentuk persepsi terhadap dunia sebenar dan kehidupan seharian mereka.
Ruang gema digital ini merujuk kepada satu persekitaran sosial khususnya di platform media sosial yang mendedahkan pengguna kepada maklumat, pandangan dan idea yang mengukuhkan kepercayaan serta perspektif sedia ada mereka terhadap sesuatu perkara.
Di dalam ruang gema itu pula, pengguna cenderung untuk berinteraksi dengan individu yang mempunyai pemikiran sealiran mereka semata-mata sehingga mewujudkan satu ruang tertutup perkongsian maklumat yang mengasingkan mereka daripada maklumat, pandangan dan idea yang berbeza atau bertentangan dengan kefahaman mereka.
Salah satu penemuan utama kajian ini menunjukkan bahawa pengguna Gen Z Malaysia bukanlah penerima pasif kandungan TikTok.
Sebaliknya, mereka amat menyedari bagaimana algoritma berfungsi dan mengurusnya secara aktif.
Kajian juga menunjukkan bahawa kesedaran algoritma dapat membantu pengguna menapis dan mengurus kandungan mereka.
Ini kerana, responden secara sedar menggunakan ciri interaktif seperti 'suka', 'kongsi', 'komen', 'simpan', 'siaran semula' dan butang 'tidak berminat' terhadap kandungan TikTok.
Tingkah laku penglibatan ini memberikan mereka 'rasa kawalan' yang mendalam terhadap pengalaman tontonan mereka.
Contohnya, jika kandungan yang tidak relevan atau tidak diingini muncul, pengguna akan segera menekan 'tidak berminat' dan mengelak kandungan serupa daripada muncul semula.
Keyakinan ini menunjukkan kepercayaan pengguna yang optimis bahawa mereka boleh menyesuaikan kandungan untuk memenuhi keperluan emosi dan maklumat mereka, sama ada untuk motivasi kesihatan mental, penjagaan diri atau inspirasi memasak.
Kawalan kandungan dan realiti algoritma TikTok
Walaupun hasil kajian menunjukkan adanya kawalan kandungan TikTok yang positif, kajian ini turut menimbulkan kebimbangan akademik lebih mendalam terhadap kesan ruang gema.
Ini kerana, walaupun hasil dapatan kajian menunjukkan pandangan positif pengguna terhadap manfaat TikTok, ia tidak selari sepenuhnya dengan realiti.
Algoritma TikTok sentiasa mengatur kandungan secara khusus (FYP) berdasarkan data peribadi pengguna, ia secara semula jadi mengutamakan naratif yang serupa dan menyekat keupayaan pengguna untuk meneroka perspektif yang pelbagai.
Apabila pengguna secara tidak sedar membenarkan algoritma menentukan tabiat tontonan mereka, ia secara progresif mempengaruhi persepsi mereka dan memupuk "rasa realiti baharu".
Kebergantungan melampau kepada platform ini berpotensi memberi kesan ketara kepada pandangan dunia dan proses kognitif seseorang individu.
Kajian lepas berkaitan algoritma menunjukkan bahawa pemperibadian melampau ini boleh mengakibatkan pengguna terperangkap dalam ruang gema dan terpinggir daripada realiti persekitaran sosial yang lebih luas.
Paradoks terasnya cukup jelas apabila pengguna merasakan mereka berkuasa mengawal kandungan, tetapi jika realiti kawalan hanya terhad kepada ruang digital maka ia akan memberi kesan kepada kehidupan mereka.
Dan, berdasarkan kajian ini juga menunjukkan TikTok berupaya mempengaruhi algoritma kendiri pengguna yang seterusnya memberi impak kepada motivasi, inspirasi, keyakinan diri, cinta diri dan harga diri pengguna Gen Z di Malaysia.
Ini kerana, dalam usaha mereka membentuk identiti digital yang ideal, pengguna cenderung melihat kandungan algoritma sebagai "teladan" yang optimum.
Tanpa panduan yang mencukupi, identiti digital yang dibentuk mungkin tidak mencerminkan diri mereka yang tulen dengan tepat.
Ini mencetuskan kebimbangan terhadap impak negatif ruang gema yang menjejaskan komunikasi dunia sebenar dan kesejahteraan mental belia Malaysia.
Kesan ruang gema digital TikTok terhadap Gen Z
Perangkap ruang gema digital dapat memberi pelbagai kesan kepada pengguna terutama Gen Z.
Salah satu kesannya adalah impak kepada kesihatan mental terutama orang muda yang tidak mempunyai kefahaman tentang algoritma dan perangkap ruang gema ini.
Ini kerana, algoritma dan ruang gema saling berkait apabila setiap elemen saling memperkukuh satu sama lain dan menyumbang serta mempengaruhi proses pembentukan pemikiran dan identiti Gen Z yang berasaskan kepada maklumat, norma dan pengalaman yang diperoleh daripada platform TikTok.
Secara ringkasnya, algoritma mencipta kandungan berasaskan peribadi dan identiti pengguna, perangkap ruang gema pula menyampaikan kandungan berulang dan sempit yang seterusnya memberi kesan kepada kesihatan mental Gen Z.
Isu kesihatan mental orang muda pula, perlu diberi perhatian serius memandangkan laporan Indeks Kesihatan Mental Belia Malaysia 2023 (MyMHI’23) menyebut bahawa 6 daripada 10 belia di negara ini mengalami gejala kemurungan tahap ringan dan serius.
Laporan itu turut menyatakan bahawa seorang daripada setiap sepuluh belia di Malaysia mempunyai idea untuk membunuh diri.
Kajian “The Digital Echo Trap: Gen Z Malaysia’s TikTok Algorithm Awareness is Not Absolute Immunity” mendapati, ruang gema digital TikTok tidak membantu orang muda untuk menghadapi cabaran sosial sebenar dunia akan memberi impak negatif kepada kerentanan Gen Z ini.
Walaupun ia menyediakan pelbagai kandungan tersusun dari berbagai sumber untuk Gen Z, cadangan kandungan itu hanyalah berulang dan sempit serta tidak selari dengan dunia realiti.
Kajian juga mendapati, informan yang ditemu bual mengakui mereka mengukuhkan imej kendiri berdasarkan sokongan dan pengesahan kandungan digital yang ditonton secara berulang kali dalam ruang kandungan digital yang sama.
Situasi ini menggambarkan bahawa belia Malaysia sudah berhadapan dengan cabaran psikososial yang ketara.
Selain itu, laporan MyMHI’23 menyatakan Domain Sokongan Sosial berada pada tahap 68.3% yang menunjukkan sokongan sosial kepada belia daripada institusi keluarga dan lingkungan sosial, masih boleh ditingkatkan bagi membantu Gen Z.
Kesan perangkap ruang gema lain dalam kalangan Gen Z adalah menyebabkan kesukaran mereka bekerja dengan orang lain serta kesediaan berkomunikasi yang rendah.
Komunikasi harian terutama dalam masyarakat majmuk di Malaysia memerlukan setiap individu mempunyai keupayaan untuk mengemudi perspektif yang kompleks dan pelbagai.
Gen Z, yang terbiasa dengan "realiti" yang ditapis dalam suapan media sosial mereka, mungkin menjadi kurang bersedia untuk mengendalikan pandangan yang bercanggah atau pendapat yang pelbagai dalam kehidupan sebenar.
Ruang gema ini berisiko menghakis kemahiran penting empati dan toleransi, yang penting untuk interaksi antara budaya dan kaum.
Satu tinjauan mendapati bahawa 73.2% syarikat menunjukkan bahawa siswazah kekurangan kemahiran dalam menyelesaikan masalah serta kemahiran komunikasi.
Majikan menekankan tentang kekurangan kemahiran insaniah, termasuk komunikasi berkesan dan etika kerja yang kukuh, sebagai masalah utama apabila memgambil belia bekerja.
Terdapat kemungkinan ruang gema turut menyumbang kepada kekurangan komunikasi dalam pasukan yang langsung menghalang pembangunan kecekapan belia untuk perjawatan sesuai.
Kesan lain dibawa oleh ruang gema ini adalah ketidakupayaan menerima perbezaan realiti.
Pengaruh algoritma berterusan terhadap harga diri boleh mewujudkan pandangan kendiri yang dibina terutamanya berdasarkan maklum balas digital serta-merta.
Apabila algoritma kendiri ini tidak selaras dengan diri sebenar, ia boleh menyebabkan kesukaran akut untuk menerima perbezaan realiti.
Kesihatan emosi belia Malaysia seperti yang dilaporkan MyMHI'23 berada dalam risiko sederhana dengan skor 71.9, iaitu ketidakupayaan membezakan harga diri cetusan daripada algoritma dan realiti diri sendiri.
Ia boleh menyebabkan mereka hilang kawalan terhadap diri sendiri berdasarkan hasil kajian yang menunjukkan bahawa informan amat mengharapkan pengukuhan makna harga diri melalui model peranan atau role model yang dilihat di TikTok.
Ia secara jelas merupakan tingkahlaku yang terpisah daripada hasil usaha sendiri dalam membina ketulenan diri dan kesannya adalah berisiko memupuk rasa tidak bertoleransi terhadap realiti interaksi dengan orang lain dan kehidupan profesional yang kompleks dan sering mengecewakan.
Isu Ruang Gema: Cabaran untuk keluarga dan pendidikan
Kajian ini mengetengahkan keperluan mendesak untuk pendidikan media yang komprehensif dalam kalangan Gen Z, khususnya penggunaan media sosial yang beretika dan bertanggungjawab.
Golongan muda yang membesar dalam persekitaran ini mesti menyedari bahawa keupayaan untuk 'mengawal' kandungan hanyalah titik permulaan.
Peranan keluarga dan institusi pendidikan adalah penting dalam membimbing mereka untuk mengelakkan diri daripada menjadi mangsa “penapisan yang tidak disengajakan” oleh algoritma.
Kesedaran tentang algoritma mesti diperluaskan kepada literasi media yang komprehensif seperti mengajar Gen Z untuk mencari maklumat melangkaui gelembung peribadi mereka secara aktif.
Ini akan memastikan algoritma kendiri yang dibina, adalah sihat dan seimbang, membolehkan mereka berinteraksi secara berkesan dan bertanggungjawab dalam persekitaran sosial sebenar mereka.
Kesimpulannya, walaupun kajian ini mengkaji secara kritis pengalaman Gen Z Malaysia, penemuan mengenai algoritma kendiri dan kuasa ruang gema berfungsi sebagai amaran penting yang melangkaui sempadan generasi.
Memandangkan sifat TikTok yang meluas dan jumlah masa yang tinggi dihabiskan di platform tersebut, pemahaman mengenai algoritma dan ruang gema perlu diketahui oleh semua generasi dan peringkat usia.
Oleh itu, literasi digital dapat mendidik pengguna untuk membezakan realiti ciptaan atau dunia sebenar.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Nuredayu Omar
Pensyarah Kanan Program Komunikasi
Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC)
Universiti Utara Malaysia (UUM)
e-mel: