SAUDARA PENGARANG
Salah satu keindahan bahasa al-Quran ialah penggunaan elemen perumpamaan yang menyampaikan makna ayat dengan cara yang lebih dekat dengan hati manusia. Ianya sebuah gaya bahasa yang menyamakan sesuatu perkara dengan perkara lain yang lebih jelas, konkrit atau biasa dalam kehidupan manusia.
Elemen perumpamaan menjadikan mesej al-Quran lebih jelas, lebih menyentuh hati dan membuka kesedaran tentang hakikat kehidupan. Dalam Surah al-Kahfi ayat 45, Allah mengumpamakan dunia seperti air yang turun dari langit. Firman Allah SWT yang bermaksud,
“Sesungguhnya kehidupan dunia ini seperti air yang Kami turunkan dari langit, lalu bercampurlah tanaman di bumi dengannya, kemudian ia menjadi kering dan hancur diterbangkan angin. Dan Allah Maha Berkuasa atas segala sesuatu.”
Kesannya kepada pendengar sangat besar apabila ianya membuatkan seseorang memahami hakikat dunia melalui sesuatu yang mudah dibayangi iaitu air. Ia juga menjadikan penyampaian ayat al-Quran lebih hidup, lebih menyentuh dan lebih mempengaruhi cara berfikir manusia apabila mereka dapat mengaitkan persamaan perkara yang diumpamakan dengan perumpamaan yang diberikan.
Air Tak Pernah Tetap Sepertimana Dunia Tak Pernah Kekal
Antara ulama’ yang membahaskan mengapa Allah mengumpamakan dunia seperti air yang turun dari langit ialah Imam al-Qurthubi dalam tafsirnya. Antaranya, air tidak tetap dalam suatu keadaan atau tempat, begitu juga dunia.
Secara fitrahnya, air tidak akan kekal di tempat tinggi. Ia sentiasa mencari ruang untuk turun ke bawah kerana tertarik oleh graviti. Ke mana pun halangan ditemui, air tetap akan mencari jalan untuk mengalir turun, walaupun melalui celahan kecil atau rekahan tanah.
Usia kita sentiasa mengalir ke bawah, menuju kematian seperti air yang mengalir ke lembah. Kecantikan, tenaga dan kekuatan yang pernah berada di puncak akhirnya mengalir pergi mengikut putaran masa. Begitu juga rezeki dan nikmat dunia yang tidak kekal. Hari ini kita memilikinya, esok mungkin hilang atau berpindah kepada orang lain.
Air juga berubah mengikut suasana, kadangkala jernih, kadangkala keruh, kadang kala tenang, kadangkala bergelora. Begitu juga hidup manusia yang saling beralih antara suka dan duka, kaya dan miskin, sihat dan sakit dan lain-lain.
Seperti Air Menghilang, Begitulah Dunia Menuju Fana
Air yang turun dari langit akhirnya akan menghilang yang mana sebahagiannya meresap ke dalam tanah, sebahagiannya pula terwap naik ke langit. Begitulah dunia juga apa yang kita miliki hari ini tidak kekal di tangan kita selama-lamanya. Harta, pangkat, kesenangan, dan kesempatan hidup akan pergi saat tibanya ajal.
Dunia juga semakin lama semakin menghampiri penghujungnya dan saat tibanya hari kiamat maka di situlah kehancuran dunia menuju fana. Perjalanan air yang menghilang mengingatkan kita bahawa segala yang bersifat duniawi hanyalah sementara, sentiasa bergerak, berubah dan akhirnya lenyap, sementara yang benar-benar kekal hanyalah Allah SWT.
Apabila Nikmat Bertukar Musibah
Air apabila hadir untuk digunakan sekadarnya, ianya menjadi sumber manfaat yang paling besar kepada kita semua. Namun, apabila jumlahnya berlebihan, air yang sama boleh berubah menjadi ancaman.
Banjir yang melanda hasil hujan berterusan atau limpahan sungai menunjukkan bagaimana sesuatu yang bermanfaat boleh bertukar menjadi musibah apabila ia tidak lagi berada dalam kadar yang seimbang. Begitulah juga dunia yang pada asalnya memberi kebaikan jika kita mengambilnya sekadar keperluan.
Namun apabila manusia terlalu mengejar dunia, dunia itu sendiri boleh ‘membanjiri’ hati hingga melalaikan. Seperti air yang melimpah dan menenggelamkan rumah, dunia yang berlebihan boleh menenggelamkan jiwa, merosakkan akhlak, dan memudaratkan kehidupan.
Masuk Air Pasti Basah, Masuk Dunia Pasti Diuji
Seperti mana seseorang tidak dapat mengelak daripada basah apabila berada dalam air, manusia juga tidak dapat mengelak daripada diuji dengan pelbagai jenis ujian di dunia. Tiada siapa yang masuk ke dalam air tanpa menjadi basah. Ia adalah ketetapan alam iaitu sesiapa pun yang menyentuh air akan merasai kesannya.
Tiada manusia yang memasuki kehidupan dunia tanpa melalui ujian. Ujian adalah ketetapan hidup, sebagaimana basah adalah ketetapan bagi air.
Daripada musibah banjir, kita belajar bahawa ujian itu sebahagian daripada fitrah kehidupan, bukan tanda kebencian Tuhan. Seperti basah yang tidak boleh dipisahkan daripada air, begitu jugalah ujian yang tidak boleh dipisahkan daripada hidup di dunia.
Yang membezakan ialah bagaimana kita menghadapinya sama ada dengan keluhan atau dengan kesabaran dan keyakinan bahawa setiap ujian pasti membawa hikmah.
Perumpamaan air dalam al-Quran membuka mata manusia kepada hakikat dunia yang penuh sementara dan sentiasa berubah.
Air yang turun dari langit, menghidupkan bumi, mengalir, berubah warna, hilang, bahkan kadangkala membawa bencana. Semua itu menggambarkan perjalanan dunia yang tidak pernah kekal. Kehidupan manusia juga bergerak seiring perumpamaan ini ketika usia kita mengalir pergi, nikmat silih berganti, ujian datang tanpa henti, dan segala yang kita miliki akan berakhir apabila tiba masanya.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Mohammad Zariff Afiq Zuriman
Pensyarah Matrikulasi
Jabatan Bahasa (Bahasa Arab)
Pusat Matrikulasi
Universiti Islam Selangor
e-mel: