
JOHOR BAHRU, 6 Mac -Seorang wanita mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, atas pertuduhan berpakat melakukan rompakan berkumpulan di belakang sebuah bank di Pasir Gudang, pada 24 Februari lalu.
- Muhammat Rashid Ismail mengaku tidak bersalah; dibenarkan jaminan RM12,000 setiap seorang; kes sebut semula 8 April.
- Muhamad Syukri dan Abdul Rahman mengaku tidak bersalah atas rompakan RM500,000; jaminan RM8,000; kes sebut semula 14 April.
- Emmirul Azim didakwa simpan harta curi RM71,520; dibenarkan jaminan RM18,000; kes sebut semula 14 April.
Tertuduh, Shameem Begum Abdul Said, 53 tahun, membuat pengakuan di hadapan Hakim Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.
Kesalahan sama turut didakwa kepada Muhammat Rashid Ismail, 29 tahun, yang mengaku tidak bersalah.
Kedua-dua mereka dibenarkan jaminan RM12,000 setiap seorang, dan kes disebut semula pada lapan April ini bagi serahan dokumen dan keputusan hukuman.
Pada sesi berlainan, Muhamad Syukri Mohamed Yusoff, 32 tahun dan Abdul Rahman Abd Rahim, 23 tahun, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan melibatkan RM500,000, di lokasi dan tarikh sama.
Hakim Mohd Zamir Suhaimee membenarkan jaminan RM8,000 setiap seorang, dan kes disebut semula pada 14 April ini.
Sementara itu, Emmirul Azim Samat, 30 tahun, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan, membuat persiapan, melakukan rompakan berkumpulan di lokasi dan tarikh sama, serta menyimpan harta curi iaitu wang tunai berjumlah RM71,520, di Bandar Seri Alam, pada tarikh sama.
Hakim Mohd Zamir Suhaimee membenarkan jaminan RM18,000 dan kes disebut semula pada 14 April ini.
Di Mahkamah Majistret pula, Mohamad Taufiq Mohammad Jamil, 31 tahun, mengaku tidak bersalah atas dakwaan memiliki pistol tiruan di Damansara Aliff, pada 27 Februari lalu.
Majistret Azureen Sahira Sauffee Afandi membenarkan jaminan RM5,000 dan kes disebut semula pada 31 Mac.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Fatihah Mohd Nizam, Siti Fatimah Mamu dan Afdhallan Syafiq, mengikut Akta Senjata 1960, Kanun Keseksaan.