
MUKAH, 27 Mac– Seorang wanita berusia 21 tahun maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 16, Jalan Mukah-Balingian, pagi tadi.
- Punca kemalangan: pacuan empat roda rosak enjin lalu berhenti secara tiba-tiba.
- Motosikal yang ditunggang mangsa merempuh belakang kenderaan itu, hilang kawalan, memasuki laluan bertentangan.
- Mangsa dari Kampung Penipah parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
- Pemandu pacuan empat roda dan lori tidak cedera; kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias berkata, kejadian kira-kira pukul 11.45 pagi itu melibatkan kenderaan pacuan empat roda, motosikal dan lori.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila kenderaan pacuan empat roda yang dipandu lelaki berusia 60 tahun mengalami kerosakan enjin sebelum berhenti secara tiba-tiba.
Motosikal yang ditunggang mangsa dari arah sama tidak sempat mengelak lalu merempuh bahagian belakang kenderaan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, akibat pelanggaran itu, motosikal hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan.
Mangsa kemudian dilanggar sebuah lori yang dipandu lelaki berusia 31 tahun.
Mangsa yang berasal dari Kampung Penipah mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Pemandu kenderaan pacuan empat roda dan lori tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.