
KUBANG PASU, 16 Januari – Seorang wanita maut selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah van dipandu lelaki warga Thailand yang dipercayai melanggar lampu isyarat merah di Napoh, di sini, malam tadi.
- Pemandu van warga Thailand dipercayai melanggar lampu isyarat merah menyebabkan perlanggaran di Napoh.
- Seorang wanita berusia 22 tahun maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
- Pemandu van ditahan, ujian saringan air kencing negatif, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Radzi Abd Rahim berkata, mangsa dikenali sebagai Fatin Nursyafikah Haris Bawijad, 22, dari Kampung Bukit Beruas, Mukim Binjal, yang bekerja sebagai pembantu kedai makan.
“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira pukul 10.15 malam apabila pemandu van berusia 60 tahun yang dalam perjalanan ke Satun, Thailand tidak berhenti ketika lampu isyarat merah.
“Van tersebut kemudian melanggar motosikal mangsa yang datang dari simpang sebelah kiri, menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Jitra untuk bedah siasat, manakala pemandu van tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah ditahan bagi membantu siasatan.
“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati pemandu bebas daripada pengaruh dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Terdahulu, tular satu video di media sosial memaparkan sebuah motosikal dirempuh van yang tidak berhenti di lampu merah di persimpangan Napoh.