Wanita diserang senjata tajam di Sepang, suspek ditahan

FOTO HIASAN

SEPANG, 12 April – Seorang wanita berusia 34 tahun cedera selepas diserang dengan senjata tajam di kediamannya, dalam satu kejadian yang berlaku pada Jumaat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Seorang lelaki berusia 22 tahun, penuntut universiti swasta, ditahan dan direman tujuh hari bagi membantu siasatan.
  • Mangsa dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan dilaporkan dalam keadaan stabil.
  • Polis buka kes bawah Seksyen 326; 10 saksi dirakam, saringan air kencing suspek negatif, orang ramai diminta bantu siasatan dan elak spekulasi.

Ketua Polis Daerah Sepang, Penolong Pesuruhjaya Polis ACP Norhizam Bahaman mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu dan telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Bertindak atas laporan tersebut, polis berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 22 tahun pada hari yang sama. Suspek yang juga penuntut di sebuah universiti swasta kini direman selama tujuh hari bermula 10 hingga 16 April bagi membantu siasatan.

“Mangsa kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

“Setakat ini, 10 saksi telah dirakam keterangan, manakala ujian saringan awal air kencing terhadap suspek didapati negatif. Suspek juga tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Muhammad Azroy Amran di talian 014-2723342 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Polis turut menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat tidak sahih atau membuat spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan serta mencetuskan kegusaran awam.