Wanita catat 60 peratus mangsa ‘Love Scam’ Januari lalu

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 15 Februari – Golongan wanita terus menjadi mangsa tertinggi penipuan love scam apabila mencatatkan 60 peratus daripada keseluruhan kes yang dilaporkan pada Januari 2026, berbanding lelaki sebanyak 40 peratus.

RINGKASAN BERITA AI
  • Wanita kekal mangsa utama love scam, membabitkan 60 peratus daripada keseluruhan kes pada Januari.
  • Jumlah laporan meningkat kepada 100 kes pada Januari 2026, naik lima kes berbanding 2025.
  • Kerugian menurun kepada RM3.5 juta pada Januari 2026, turun 27 peratus daripada RM4.9 juta.
  • 72 peratus mangsa berumur 30 hingga 50 tahun; orang ramai dinasihatkan hubungi 997 jika menjadi mangsa.

Berdasarkan statistik terkini oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) sebanyak 100 kes direkodkan pada Januari tahun ini berbanding 95 kes bagi tempoh sama pada 2025.

Statistik perbandingan itu menunjukkan peningkatan lima kes atau kira-kira 5.3 peratus dari segi jumlah laporan.

“Berdasarkan analisis perbandingan statistik terkini, sebanyak 100 kes penipuan love scam telah dilaporkan pada Januari 2026, berbanding 95 kes pada Januari 2025.

“Jumlah kerugian yang direkodkan pada Januari 2026 adalah sebanyak RM3.5 juta, menunjukkan penurunan sebanyak 27 peratus berbanding jumlah kerugian RM4.9 juta pada Januari 2025,” menurut hantaran Facebook Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) hari ini.

Menurut infografik “Statistik Penipuan Love Scam” yang dikongsikan, seramai 72 peratus mangsa berusia antara 30 hingga 50 tahun, sekali gus menunjukkan kumpulan umur bekerja paling terdedah kepada sindiket berkenaan.

Poster itu turut memaparkan analisis perbandingan kes dan kerugian bagi Januari 2025 dan Januari 2026 berdasarkan data terkini, selain menyertakan maklumat National Scam Response Center (NSRC) 997 serta pautan semakan menerusi laman sesawang Semak Mule.

Orang ramai dinasihatkan agar lebih berhati-hati terhadap individu tidak dikenali yang menjalin hubungan secara dalam talian dan segera menghubungi talian 997 sekiranya menjadi mangsa penipuan.