
KOTA BHARU, 3 Februari – Jabatan Imigresen (JIM) Negeri Kelantan menahan lima pendatang asing tanpa izin (PATI) dan dua warga tempatan menerusi Op Serkap di sini yang dilakukan selama dua hari berakhir semalam.
- Jabatan Imigresen Kelantan menahan lima PATI dan dua warga tempatan dalam Op Serkap dua hari di Kota Bharu.
- PATI terdiri daripada dua lelaki dan tiga wanita warga Myanmar berusia 20 hingga 40 tahun.
- PATI dipercayai dibawa masuk menerusi pengkalan haram Sungai Golok dan dipindahkan melalui jeti Gok Kapur.
- Kedua-dua warga tempatan ditahan sebagai pengangkut dan disiasat di bawah undang-undang ATIPSOM.
Timbalan Pengarah JIM Kelantan, Nik Akhtarulhaq Nik Abdul Rahman dalam kenyataan memaklumkan, dalam operasi yang dijalankan kira-kira 12.00 tengah malam itu pihaknya menahan dua lelaki dan tiga wanita warga Myanmar berusia antara 20 hingga 40 tahun di Kampung Raja Seksyen Dua, Kota Bharu.
Turut ditahan dua lelaki warga tempatan yang disyaki bertindak sebagai pengangkut dalam rangkaian penyeludupan migran terbabit.
“Hasil siasatan mendapati, warga asing terbabit dipercayai dibawa masuk melalui pengkalan haram di Sungai Golok sebelum dipindahkan ke jeti Gok Kapur di Sungai Kelantan, dan kemudiannya ditempatkan di sebuah lokasi transit di Kampung Raja Seksyen Dua.
“Cubaan sindiket berkenaan gagal selepas berjaya dikesan oleh pegawai imigresen hasil risikan dan intipan yang dilakukan sebelum ini,” menurut kenyataan itu.
Kesemua PATI terbabit ditahan dan dibawa ke Depot Imigresen Tanah Merah untuk siasatan lanjut bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Sementara itu, kedua-dua suspek warga tempatan pula ditahan dan disiasat bawah Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan
Migran (ATIPSOM) 2007 bagi mengenal pasti rangkaian sindiket yang terlibat.