
SRI AMAN, 20 Mac — Tiga maut manakala lima lagi cedera dalam nahas jalan raya melibatkan dua kenderaan di Lebuhraya Pan Borneo berhampiran Kampung Selepong Jinggau, Jalan Serian–Sri Aman, pagi tadi.
- Mangsa maut dikenal pasti sebagai Lau Sie Tung, 70; Grace Lau Chi Ai, 22; dan Lau Yok Leh, 22.
- Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak menerima panggilan pada 8.30 pagi dan anggota Balai Bomba Sri Aman dikerahkan ke lokasi.
- Kemalangan melibatkan sebuah SUV dan sebuah MPV, dengan MPV dilaporkan terbakar sepenuhnya.
- Dua kanak-kanak dari SUV dihantar ke Hospital Sri Aman; tiga penumpang MPV mengalami kecederaan kepala. Operasi tamat pada 10 pagi.
Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Lau Sie Tung, 70, serta dua wanita dewasa, Grace Lau Chi Ai dan Lau Yok Leh, masing-masing berusia 22 tahun.
Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.30 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sri Aman digerakkan ke lokasi kejadian.
Menurut kenyataan itu, kemalangan membabitkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV), dengan MPV dilaporkan terbakar sepenuhnya.
“Kemalangan tersebut mengorbankan tiga penumpang SUV yang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Dua lagi kanak-kanak lelaki dalam kenderaan sama mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Sri Aman untuk rawatan lanjut,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, tiga penumpang MPV terdiri daripada seorang wanita dewasa dan dua kanak-kanak lelaki dilaporkan cedera di bahagian kepala.
Operasi menyelamat tamat sepenuhnya pada 10 pagi.