
IPOH, 6 Mac – Tiga kenderaan dihempap dua batang pokok tumbang dalam kejadian di Taman Bersatu, Simpang Pulai dekat sini petang tadi.
- Panggilan kecemasan diterima pada 4.43 petang; jentera bomba tiba kira-kira empat minit kemudian.
- Enam mangsa dikeluarkan orang awam sebelum ketibaan bomba dan dilaporkan selamat tanpa kecederaan serius.
- Operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan I Mohd Izzat Ismail melibatkan lima anggota dan sebuah jentera FRT, dikawal pada 5.15 petang.
Kenderaan yang terlibat ialah sebuah Proton Saga, Proton Persona dan Volkswagen dalam kejadian kira-kira pukul 4.43 petang itu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.43 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai digerakkan ke lokasi kejadian.
“Jentera bomba tiba di lokasi kira-kira empat minit kemudian yang terletak sekitar tiga kilometer dari balai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata enam mangsa yang terlibat dalam kejadian itu bagaimanapun berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pihak bomba dan dilaporkan selamat tanpa kecederaan serius.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan I Mohd Izzat Ismail itu tertumpu kepada kerja-kerja memotong dan mengalihkan pokok bagi memastikan kawasan terbabit selamat.
Operasi melibatkan lima anggota bomba dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 5.15 petang.