Tiga individu di Johor dikenakan PKM, denda

Mahkamah Sesyen/ Majistret Johor Bahru

JOHOR BAHRU, 1 April – Tiga individu termasuk dua warga India dan Nepal, dikenakan Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) dan denda, selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, di sini atas pertuduhan membuang sisa pepejal iaitu puntung rokok dan tin minuman pada Januari lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mohd Sofian membuang puntung rokok di Tapak Parkir Hentian Rehat Arah Selatan (Kulai) pada 27 Januari.
  • Sinha membuang tin di hadapan kedai Jalan Serigala, Taman Abad pada 14 Januari; Bharat membuang puntung rokok di Taman Bintang Utama, 1 Januari.
  • Mahkamah mengenakan denda: Mohd Sofian RM800 dan enam jam PKM; Sinha RM1,000 dan empat jam; Bharat RM1,000 dan enam jam.

Mohd Sofian Misban, 34 tahun, Sinha Vaibhav, 40 tahun dan Bharat Bahadur, 21 tahun, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.

Mengikut kertas pertuduhan, Mohd Sofian yang merupakan pemandu bas, telah membuang satu puntung rokok di Tapak Parkir Hentian Rehat dan Rawat Arah Selatan (Kulai), Johor, pada 27 Januari lalu.

Manakala Sinha, warga India membuang tin minuman dihadapan sebuah kedai di Jalan Serigala, Taman Abad, Johor Bahru, 14 Januari. Bharat pula, membuang puntung rokok di Taman Bintang Utama, Kulai, 1 Januari lalu.

Pendakwaan mengikut subseksyen 77A (1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672), boleh dihukum mengikut subseksyen 77A(2) dan sebagai tambahan boleh dikenakan PKM mengikut subseksyen 77B (1) Akta sama.

Mahkamah membenarkan denda RM800 dan enam jam PKM dalam tempoh enam bulan kepada Mohd Sofian. Manakala, Sinha dan Bharat masing-masing didenda RM1,000, empat dan enam jam PKM dalam tempoh enam bulan.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa SWCorp, Rubiah Maulud manakala semua orang kena saman (OKS) tidak diwakili peguam.