
IPOH, 1 Februari – Polis menahan seorang lelaki kerana membawa pisau pemotong sayur semasa sambutan Thaipusam di Kuil Sri Subramaniar, Gunung Cheroh, di sini, semalam.
- Seorang lelaki 34 tahun ditahan kerana membawa pisau pemotong sayur; direman tiga hari untuk siasatan di bawah akta senjata berbahaya.
- Seorang warga emas 80 tahun ditahan kemudian dibebaskan dengan jaminan setelah menerbangkan dron tanpa permit; dron dirampas.
- Seramai 763 pegawai dan anggota polis dikerahkan semasa sambutan Thaipusam untuk memastikan keselamatan dan ketenteraman awam.
Timbalan Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Polis (DCP) Mohammad Azlin Sadari berkata, suspek berusia 34 tahun itu ditahan sekitar pukul 11.30 pagi hasil pemantauan dan pemeriksaan keselamatan yang dijalankan pihaknya.
“Suspek memaklumkan pisau itu dibawa untuk tujuan keselamatan diri.
“Namun, mengambil kira rekod jenayah lampau termasuk kes-kes kekerasan dan dadah, tiada rasional untuk dia membawa senjata,” katanya.
Suspek direman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.
Dalam kejadian berasingan, Unit Dron Pasukan Gerakan Udara (PGU) Bukit Aman turut menahan seorang lelaki warga emas berusia 80 tahun kerana menerbangkan dron tanpa permit daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) di sekitar lokasi sambutan yang sama.
Lelaki berkenaan dibebaskan dengan jaminan polis, manakala dron tersebut dirampas untuk siasatan lanjut.
Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa Program High Profile Policing Polis Perak bersama masyarakat di sekitar Kuil Sri Subramaniar, Gunung Cheroh di sini.
Dalam pada itu, seramai 763 pegawai dan anggota polis dikerahkan sepanjang sambutan Thaipusam bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara.