
LUNDU, 29 Januari – Tentera Darat Malaysia (TDM) berjaya menggagalkan cubaan 21 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba menyusup masuk ke Sarawak dari Indonesia melalui laluan haram di kawasan sempadan Lundu.
- TDM menahan 21 PATI yang cuba menyusup masuk ke Sarawak melalui laluan haram di kawasan sempadan Lundu.
- Pemeriksaan mendedahkan kebanyakan PATI tiada dokumen sah dan barangan bernilai lebih RM10,000 dirampas.
- Semua PATI diusir pulang serta laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Lundu.
Menurut Markas Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat, kejadian berlaku ketika pasukan TDM menjalan rondaan keselamatan, kira-kira pukul 3.20 petang, Rabu lalu.
“Pasukan bertugas mengesan pergerakan mencurigakan sebelum melancarkan serbuan taktikal kira-kira 800 meter dari garisan sempadan, sekali gus menahan 17 lelaki dan empat wanita.
“Pemeriksaan mendapati kebanyakan mereka tidak memiliki dokumen perjalanan sah. Barangan bernilai lebih RM10,000, termasuk 19 unit telefon pintar turut dirampas,” menurut kenyataan itu.
Kumpulan berkenaan tidak membawa sebarang senjata berbahaya.
Mereka dipercayai memasuki negara ini bagi tujuan mencari pekerjaan serta membeli barangan tanpa melalui pintu masuk imigresen
Semua PATI terbabit diusir serta-merta ke negara asal, dan laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lundu.