Tan Sri antara dua ditahan kes penipuan pelaburan lebih RM300 juta

Foto RTM

KOTA BHARU, 22 Januari – Seorang lelaki bergelar Tan Sri antara dua individu yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki terlibat dalam penipuan pelaburan berskala besar yang dianggarkan bernilai lebih RM300 juta.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tan Sri ditahan SPRM disyaki terbabit dalam penipuan pelaburan lebih RM300 juta menyebabkan puluhan pelabur rugi besar.
  • Seorang wanita dalam lingkungan 50-an dan enam pemilik syarikat turut ditahan berkaitan pelaburan dan kemasukan e-waste haram.
  • SPRM merampas dan membekukan 14 akaun syarikat bernilai RM7.2 juta serta sedang memburu dua lagi suspek.
  • Siasatan diklasifikasikan sebagai jenayah ekonomi, melibatkan pengubahan wang haram serta libat jabatan alam sekitar dan kastam.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata penipuan berkenaan membabitkan isu yang memberi kesan langsung kepada rakyat apabila ramai pelabur mengalami kerugian mencecah ratusan juta ringgit.

Beliau berkata, individu berkenaan ditahan semalam selepas hadir ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya sebelum direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

Turut ditahan seorang wanita berusia lingkungan 50-an yang juga Ahli Lembaga Pengarah sebuah syarikat.

“TAN SRI berkenaan ditahan semalam dan telah direman, manakala wanita itu ditahan sehari sebelumnya. Pelaburan yang ditawarkan sebenarnya tidak jelas tetapi menjanjikan pulangan tinggi, dan saya percaya kes ini turut melibatkan kesalahan undang-undang lain di bawah Suruhanjaya Sekuriti serta peruntukan undang-undang berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Program Cakna Rasuah: SPRM Bersama Media Zon Timur di sini.

Mengulas lanjut, Tan Sri Azam berkata kes berkenaan diklasifikasikan sebagai jenayah ekonomi dan melibatkan wang pelaburan yang disalahgunakan, dipercayai berlaku kira-kira dua tahun lalu.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan enam individu yang juga pemilik syarikat ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan kemasukan sisa buangan elektronik atau e-waste secara haram ke dalam negara.

Menurutnya, sebanyak 14 akaun syarikat bernilai RM7.2 juta turut dibekukan bagi membantu siasatan.

Kesemua suspek kini direman dan SPRM sedang memburu dua lagi pemilik syarikat yang dipercayai terlibat.

“Bagi pihak SPRM, penguatkuasaan melibatkan dua perkara utama iaitu pembuktian kesalahan rasuah serta siasatan berhubung kehilangan dan ketirisan wang kerajaan. Pakar daripada Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram akan menjalankan pengiraan, dan kita berusaha menghentikan kegiatan ini kerana lambakan e-waste boleh menimbulkan pelbagai isu alam sekitar dalam negara,” katanya.

SPRM mengesan sekurang-kurangnya tujuh syarikat yang dipercayai mendalangi kegiatan berkenaan sejak lima tahun lalu, berpengkalan di Selangor dan Negeri Sembilan.

Siasatan dijalankan bersama Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia bagi menangani isu rasuah, ketirisan hasil kerajaan serta ancaman terhadap alam sekitar.

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan