Taktik pindah diesel tepi jalan terbongkar, seorang ditahan

Pegawai penguat kuasa KPDN Pulau Pinang sedang memeriksa lori kanvas 14 tan dalam serbuan di Simpang Ampat, Batu Kawan./ Foto RTM

BATU KAWAN, 28 Februari – Taktik sindiket penyelewengan diesel bersubsidi yang menjadikan sebuah lori tangki sebagai stor bergerak dan diparkir di tepi jalan, terbongkar dalam serbuan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang di Simpang Ampat, awal pagi ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Modus operandi sindiket: gunakan lori tangki sebagai gudang bergerak, diparkir di tepi jalan untuk pemindahan diesel bersubsidi.
  • Serbuan KPDN di Simpang Ampat menemui pemindahan diesel awal pagi; seorang pemandu lori tempatan ditahan.
  • Dapatan serbuan: 14,000 liter dalam lori tangki, enam tangki IBC dalam lori lain, dan gudang simpanan diserbu.
  • Sitaan bernilai anggaran RM200,000 termasuk lori, tangki IBC, pam, hos dan telefon; siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Pengarahnya, S. Jegan berkata ketika serbuan kira-kira pukul 5 pagi itu, terdapat tiga lelaki sedang memindahkan diesel tersebut daripada sebuah lori 14 tan ke dalam sebuah lori tangki.

Seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun yang dipercayai pemandu lori berjaya ditahan, manakala dua lagi individu disyaki warga asing melarikan diri ke kawasan semak berhampiran.

“Ini merupakan modus operandi baharu di Pulau Pinang apabila sindiket berani mengambil risiko dengan memarkir lori tangki berkapasiti 24,000 liter di kawasan terbuka. Siasatan mendapati lori tersebut bertindak sebagai gudang atau stor bergerak dan telah ditinggalkan di kawasan terbuka.

“Manakala, lori 10 dan 14 tan ini akan datang pada awal pagi dengan membawa muatan berisi diesel bagi tujuan pemindahan. Selepas diisi penuh, lori tangki ini akan bergerak untuk buat penghantaran ke lokasi tertentu,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut menemukan 14,000 liter cecair di dalam lori tangki tersebut selain enam tangki IBC ditemui dalam sebuah lagi lori.

Beliau berkata KPDN turut menyerbu sebuah gudang tidak bernombor di kawasan Simpang Ampat yang dipercayai menjadi lokasi penyimpanan diesel sebelum dipindahkan ke lori tangki berkenaan.

“Hasil operasi itu, keseluruhan pihaknya menyita sebuah lori kanvas 14 tan, sebuah lori tangki 24,000 liter, 12 unit tangki IBC, tiga motor pam, tiga hos getah dan sebuah telefon bimbit dengan anggaran nilai RM200,000,” katanya.

Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.