Tahanan reman lari, polis siasat unsur kecuaian

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar/Foto Bernama

SHAH ALAM, 13 APRIL – Polis Selangor membuka kertas siasatan bagi mengesan sebarang pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) berhubung kes tahanan reman warga Pakistan yang dilaporkan melarikan diri dari Penjara Sungai Buloh minggu lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Siasatan dibuka di bawah Seksyen 223 dan 224 Kanun Keseksaan bagi menilai kecuaian atau kelemahan prosedur.
  • Pihak polis merakam keterangan anggota polis, pegawai Jabatan Penjara dan tahanan saksi kejadian.
  • Tiada tangkapan dibuat setakat ini, namun beberapa anggota direhatkan daripada tugas aktif sementara siasatan dijalankan.
  • Polis percaya suspek Muhammad Hassan, 24, masih berada di kawasan berdekatan; usaha mengesan memasuki hari kelima melibatkan pelbagai agensi.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 223 dan 224 Kanun Keseksaan bagi meneliti sekiranya wujud kecuaian atau kelemahan sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.

Menurut beliau, pihaknya telah merakam keterangan beberapa individu termasuk anggota polis, pihak Jabatan Penjara serta tahanan yang menjadi saksi kejadian.

“Banyak pihak telah dirakam keterangan, termasuk anggota polis, pegawai Jabatan Penjara, malah tahanan yang menjadi saksi kejadian tersebut.

“Setakat ini, tiada sebarang tangkapan dilakukan terhadap mana-mana individu.

“Namun, terdapat anggota yang direhatkan daripada tugas aktif sementara siasatan dijalankan,” katanya.

Pihak polis percaya suspek, Muhammad Hassan, 24, masih berada di sekitar kawasan Sungai Buloh dan usaha mengesannya kini memasuki hari kelima dengan penglibatan pelbagai agensi lain.