Suspek kekecohan di Balai Polis Meru ada kaitan kumpulan kongsi gelap

FOTO FACEBOOK POLIS SELANGOR

SHAH ALAM, 5 Mac – Individu yang terlibat dalam insiden kekecohan dan pergaduhan di Balai Polis Meru Isnin lalu didapati mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau termasuk kes bunuh, cubaan bunuh, samun berkumpulan dan pecah rumah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Suspek mempunyai rekod jenayah serius dan dikenal pasti berkaitan kumpulan kongsi gelap.
  • Kekecohan dipercayai berpunca perebutan kawalan keselamatan antara dua kumpulan.
  • Polis akan ambil tindakan tegas dan menilai penambahbaikan kawalan keselamatan Balai Polis Meru.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata siasatan juga mendapati semua suspek yang ditahan saling mengenali serta mempunyai kaitan dengan kumpulan kongsi gelap, malah seorang daripada mereka turut tersenarai sebagai individu dikehendaki polis.

Beliau berkata kejadian itu dipercayai berpunca daripada perebutan kawasan kawalan keselamatan di sebuah tapak perumahan yang melibatkan dua kumpulan.

Menurutnya, polis telah melakukan tiga siri tangkapan berasingan bagi melengkapkan siasatan terhadap insiden berkenaan.

“Tangkapan pertama melibatkan lima suspek berusia antara 28 hingga 41 tahun yang direman selama tiga hari bermula 3 hingga 5 Mac.

“Tangkapan kedua pula membabitkan dua lelaki berusia 39 hingga 44 tahun yang turut direman sehingga esok, manakala tangkapan ketiga melibatkan seorang lelaki berumur 38 tahun yang direman bermula hari ini hingga 7 Mac,” katanya.

Dalam pada itu, polis turut merampas satu topi keledar berwarna hitam dan sebatang besi paip yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut bagi membantu siasatan.

Kes disiasat bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan, Seksyen 427 Kanun Keseksaan, Seksyen 324 Kanun Keseksaan, Seksyen 90 Akta Polis 1967 serta Seksyen 6 Akta Bahan Kakisan dan Letupan serta Senjata Berbahaya 1958.

Datuk Shazeli menegaskan tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang mencabar kedaulatan institusi kepolisan serta menggugat ketenteraman awam.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan Balai Polis Meru yang terletak di lot kedai tidak mempunyai kawasan keselamatan berpagar seperti kebanyakan balai polis lain.

Menurutnya, keadaan itu menjadi antara faktor yang memudahkan kejadian tidak diingini berlaku dan pihak polis akan meneliti langkah penambahbaikan dari segi kawalan keselamatan.

“Struktur balai ini agak terhad dan hanya mempunyai pintu hadapan yang terus ke pejabat pertanyaan.

“Kita akan memperkemas aspek keselamatan supaya orang awam yang hadir ke balai polis untuk membuat laporan atau urusan lain sentiasa berada dalam keadaan selamat,” katanya.