
PUTRAJAYA, 30 Januari – Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) bersama timbalannya dibawa ke Kompleks Mahkamah Putrajaya hari ini bagi tujuan permohonan reman.
- Ketua Pengarah dan timbalan JAS direman bagi membantu siasatan SPRM berkaitan salah guna kuasa dan rasuah melibatkan e-waste.
- Risikan SPRM mendapati 2,000 hingga 3,000 kontena e-waste dipercayai diimport secara haram melalui pelabuhan utama negara.
- SPRM membekukan 16 akaun bank, menyita wang tunai RM87,000 dan barangan kes bernilai sekitar RM220,000.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan kedua-dua individu berkenaan ditahan kira-kira pukul 6.30 petang semalam selepas selesai memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
Penahanan itu dibuat bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan rasuah melibatkan pengurusan sisa elektronik atau e-waste yang dipercayai berlaku sejak beberapa tahun lalu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, sebelum ini mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan kes disiasat mengikut peruntukan Akta SPRM 2009.
Siasatan SPRM turut berkait dengan pendedahan berhubung aktiviti pengimportan e-waste secara haram, hasil risikan yang mendapati antara 2,000 hingga 3,000 kontena dipercayai dibawa masuk melalui pelabuhan utama negara.
Selain itu, risikan juga mendapati sindiket terbabit disyaki didalangi warga asing yang mengimport e-waste, plastik serta kertas untuk tujuan pemprosesan kitar semula secara tidak sah.
Terdahulu, pada Isnin lalu, SPRM memaklumkan pembekuan 16 akaun bank dengan nilai keseluruhan kira-kira RM10.2 juta, selain penyitaan wang tunai berjumlah RM87,000 serta pelbagai barangan kes dianggarkan bernilai RM220,000.