SPRM reman anggota AADK disyaki terima rasuah RM2,000

FOTO SPRM

ALOR SETAR, 11 Februari – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah menahan reman dua anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) negeri ini kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM2,000 sebagai balasan menyelesaikan kes berkaitan narkotik.

Perintah reman selama empat hari bermula 10 hingga 13 Februari 2026 terhadap kedua-dua suspek dikeluarkan Majistret Siti Nor Hasliza Md Ali selepas permohonan dibuat SPRM di Hospital Sultanah Bahiyah, di sini.

Menurut sumber, kedua-dua suspek wanita berusia lingkungan 30 hingga 40-an itu ditahan antara pukul 2 hingga 5 petang Isnin ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kedah.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2025.

“Kedua-dua suspek dipercayai menerima wang rasuah secara tunai kira-kira RM2,000 daripada seorang individu sebagai balasan untuk menyelesaikan kes positif dadah melalui saringan ujian air kencing,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Nazli Rasyid Sulong ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.