Sindiket penipuan dalam talian tumpas, 13 warga asing ditahan di Labuan

Foto BERNAMA

LABUAN, 6 Mac – Polis berjaya mematahkan sindiket penipuan dalam talian melibatkan 13 warganegara asing, di sebuah rumah perumahan dua tingkat, kawasan Jalan Pulau Buah, Labuan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Premis dipercayai dijadikan pusat operasi 'calling center' untuk menjalankan penipuan dalam talian.
  • Suspek warganegara China, lelaki dan wanita, berusia 26 hingga 47; dilapor masih latihan, menghafal skrip dan mempelajari teknik perdayaan.
  • Semua memasuki Malaysia menggunakan pas lawatan sosial; empat individu tiada dokumen perjalanan sah semasa tangkapan.
  • Pasukan merampas 21 komputer dan 83 telefon bimbit, anggaran nilai melebihi RM150,000 dipercayai digunakan untuk aktiviti penipuan.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd Hamizi Halim berkata, Operasi Bersepadu itu melibatkan Jabatan Imigresen berjaya menahan individu warganegara China terdiri 12 lelaki dan seorang wanita, berusia lingkungan 26 hingga 47 tahun.

Siasatan awal mendapati, premis berkenaan dipercayai dijadikan pusat operasi ’calling center’ bagi menjalankan kegiatan berkenaan.

“Hasil siasatan lanjut mendapati semua individu yang ditahan merupakan pekerja baharu yang dipercayai baru dihantar ke premis berkenaan dan belum memulakan sebarang aktiviti penipuan.

“Suspek dipercayai sedang menjalani latihan termasuk menghafal skrip serta mempelajari teknik memperdaya mangsa, yang disasarkan kepada warga China di negara itu,” katanya.

Kesemua suspek memasuki Malaysia menggunakan pas lawatan sosial, manakala empat daripada mereka tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah semasa
tangkapan.

Pasukan operasi turut merampas 21 set komputer dan 83 unit telefon bimbit dengan anggaran lebih RM150,000 dipercayai digunakan untuk menjalankan aktiviti penipuan.

Kes disiasat bawah Seksyen 420/120B Kanun Keseksaan.

Kesemua suspek ditahan reman, dengan kertas siasatan dirujuk ke Pejabat Pendakwaan Sabah untuk tindakan selanjutnya.

Setakat 1 Mac lalu, sebanyak 26 kertas siasatan dibuka berkait jenayah komersil melibatkan kerugian hampir RM700,000.