
SHAH ALAM, 13 April – Seramai 38 individu termasuk tiga warga tempatan ditahan polis dalam serbuan ke atas beberapa sindiket penipuan di sekitar Selangor pada minggu lalu.
- Aktiviti penipuan termasuk penipuan cinta, pekerjaan, judi dan pelaburan dalam talian.
- Sindiket menjual akaun WeChat dan iCloud melalui Telegram kepada sindiket penipuan pasaran China; ahli berperanan sebagai pegawai khidmat pelanggan dan pengendali.
- Warga tempatan ditahan berperanan tukang masak dan pemandu; warga asing masuk dengan pas lawatan sosial, kes direman mengikut Seksyen 420 dan 120B.
Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar mendedahkan, berdasarkan siasatan awal, antara aktiviti penipuan dijalankan adalah penipuan berkaitan cinta dan pekerjaan, selain judi dan pelaburan dalam talian.
“Ada antara sindiket menawarkan penjualan akaun WeChat dan iCloud melalui platform Telegram kepada sindiket penipuan pasaran China. Rata-rata ahli sindiket ini berperanan sebagai pegawai khidmat pelanggan dan pengendali.
“Dua daripada tiga warga tempatan yang ditahan pula bertugas sebagai tukang masak dan pemandu kepada ahli sindiket ini,” katanya pada sidang media di sini.
Semakan mendapati, warga asing yang ditahan telah memasuki negara ini secara sah menggunakan pas lawatan sosial, namun siasatan lanjut bersama Jabatan Imigresen masih dijalankan.
Kesemua suspek kini direman antara empat hingga tujuh hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 420 serta Seksyen 120B Kanun Keseksaan.