
GEORGE TOWN, 14 Januari -Sindiket pengedaran dadah jenis MDMA bernilai RM347,000 tumpas dalam satu operasi bersepadu di sekitar Georgetown.
- Polis tahan dua lelaki tempatan berumur 47 dan 53 tahun dalam operasi bersepadu di Georgetown.
- Rampasan termasuk 130 peket MDMA seberat 2.078 kg, tiga kenderaan, wang tunai dan cincin.
- Siasatan mendapati sindiket aktif sejak Oktober; kedua suspek positif dadah dan direman tujuh hari.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Abdul Rozak Muhammad memaklumkan, dua lelaki tempatan berusia 47 dan 53 tahun ditahan.
Jelas beliau, serbuan dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut antara pukul 10 malam Isnin hingga 3.53 pagi Selasa.
“Hasil serbuan, polis merampas 130 peket plastik pelbagai warna berisi serbuk dipercayai dadah MDMA dengan anggaran berat 2.078 kilogram.
Turut disita tiga buah kenderaan, wang tunai serta sebentuk cincin, menjadikan nilai keseluruhan sitaan dianggarkan RM277,800,” katanya.
Menurut beliau, nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan dianggarkan berjumlah RM624,800.
Saringan awal ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah.
Semakan rekod lampau pula mendapati suspek pertama mempunyai satu rekod jenayah, manakala suspek kedua memiliki tujuh rekod berkaitan dadah.
Siasatan awal mendapati sindiket berkenaan aktif sejak Oktober tahun lalu bagi memenuhi permintaan pasaran tempatan.
Kesemua suspek direman tujuh hari sehingga 19 Januari ini untuk siasatan lanjut bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.